Thinesh didakwa atas pertuduhan miliki minyak diesel tanpa lesen sah di Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang hari ini.

BUTTERWORTH – Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan memiliki minyak diesel tanpa lesen, minggu lalu.

Tertuduh, M. Thinesh, 19, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim, Zulhazmi Abdullah.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memiliki barang kawalan berjadual iaitu sebanyak 3,455 liter minyak diesel dalam enam tangki jenis Intermediate Bulk Container (IBC) di bahagian belakang sebuah lori dengan nombor pendaftaran WGE 5458.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Stor Penyimpanan Ekshibit Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang, 993 Lorong Perindustrian Bukit Minyak 11, Kawasan Perindustrian Bukit Minyak, jam 11.30 malam pada 14 Mei lalu.

Perbuatan itu didakwa mengikut Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu berurusan dengan barang kawalan secara runcit atau borong tanpa lesen dan boleh dihukum di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau dipenjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali, manakala bagi kesalahan kedua atau seterusnya boleh didenda sehingga RM2 juta atau dipenjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), S. Preeya Darrsini bersama Pegawai Pendakwa KPDN, Alsad Nasrullah.

Ketika prosiding, pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin tempatan selain syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri setiap bulan di balai polis.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan tidak bekerja dan bapanya tidak mampu membayar jumlah jaminan tersebut.

Hakim kemudian menetapkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan yang dimohon pihak pendakwaan.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 24 Jun depan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast