KUALA LUMPUR – Rakaman percakapan dan penyata akaun bank antara 45 dokumen yang diterima oleh pihak pembelaan yang mewakili bekas Panglima Tentera Darat (PTD), Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan dan isterinya, Salwani Anuar yang menghadapi 11 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM2.34 juta.
Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Abdul Jumaat memberitahu Mahkamah Sesyen hari ini, tiga set dokumen lagi akan diserahkan kepada pihak pembelaan secara berperingkat-peringkat.
Sehubungan itu, pihak pendakwaan memohon tempoh sehingga dua bulan untuk melengkapkan penyerahan dokumen berikutnya.
“Hari ini ditetapkan untuk sebutan serahan dokumen kepada pihak pembelaan mengikut Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah.
“Untuk makluman mahkamah, satu set dokumen mengandungi kira-kira 45 dokumen termasuk rakaman percakapan dan penyata akaun bank telah diserahkan kepada pihak pembelaan,” ujarnya yang mengendalikan kes bersama Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Farah Yasmin Salleh dan Natrah Fareha Rahmat.
Peguam Aizul Rohan Anuar dan Fahmi Abd Moin yang mewakili suami isteri itu mengesahkan sudah menerima dokumen terbabit.
Hakim Azura Alwi kemudian menetapkan 25 Jun ini untuk sebutan semula kes.
Pada 30 Mac lalu, Azura membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk memindahkan kesemua 11 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM2.34 juta dihadapi pasangan itu ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur untuk perbicaraan bersama.
Pada 22 Januari lalu, Muhammad Hafizuddeain mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan menerima hasil aktiviti haram iaitu wang masing-masing RM969,000; RM474,850; RM488,550; dan RM190,000 yang dimasukkan ke dalam tiga akaun bank miliknya.
Pada hari sama, Salwani turut mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM77,000 yang dimasukkan ke dalam akaun bank milik syarikatnya.
Keesokannya, Muhammad Hafizuddeain didakwa dua pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM145,000 di Mahkamah Sesyen Shah Alam, manakala isterinya itu didakwa menerima hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM5,000 di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu.
Kesemua pertuduhan dibuat mengikut Subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum mengikut Subseksyen 4(1) akta sama, jika sabit kesalahan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai kesalahan itu atau RM5 juta yang mana lebih tinggi. – MalaysiaGazette















