KUALA LUMPUR – Seorang wanita didakwa di Mahkamah Sesyen Sepang hari ini atas pertuduhan menyebarkan maklumat palsu berkaitan harga petrol dan diesel.
Tertuduh, Nur Irsalina Omar Kumar, didakwa memuat naik hantaran yang telah disunting menyerupai kandungan rasmi Buletin TV3 menerusi akaun Threads miliknya, “its.ellsaleena_”, pada 31 Mac 2026.
Hantaran tersebut mengandungi maklumat palsu mengenai kenaikan harga bahan api. Tindakan itu telah mengelirukan orang ramai serta mencetuskan kegusaran awam berhubung isu kos sara hidup.
Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM4,000 atau penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda. Tertuduh bagaimanapun telah menjelaskan bayaran denda berkenaan.
Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] yang memperuntukkan hukuman denda hingga RM500,000, penjara hingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
MCMC menegaskan bahawa penyebaran maklumat palsu, khususnya yang melibatkan isu kepentingan awam, boleh memberi kesan negatif terhadap kestabilan dan kesejahteraan masyarakat.
Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa menyemak kesahihan sesuatu maklumat sebelum berkongsi serta menggunakan platform dalam talian secara bertanggungjawab. -MalaysiaGazette















