MAKKAH – Jemaah haji muassasah menikmati 10 menu baharu bagi makan tengah hari dan malam, menjadikan keseluruhan 52 menu disediakan sepanjang musim haji tahun ini.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lemabaga Tabung Haji, Mustakim Mohamad berkata, antara menu baharu tahun ini ialah nasi Arab dan nasi briyani bagi memberi sedikit kelainan serta suasana menikmati makanan di Tanah Suci.
“Menu-menu ini disusun dalam dua pusingan sebelum dan selepas wukuf. Ini bermakna jemaah hanya akan menikmati menu sama selepas tempoh dua minggu,” katanya selepas melawat dua kilang yang membekalkan makanan kepada jemaah hari ini.

Menurut beliau, walaupun berdepan kekangan membawa bahan mentah dari Malaysia disebabkan kawalan ketat pihak berkuasa Arab Saudi, TH tetap berusaha memastikan makanan yang disediakan mengekalkan identiti rasa Malaysia.
Katanya, penggunaan premix membantu menyeragamkan rasa di tujuh dapur berpusat yang dilantik termasuk dua di Madinah bagi operasi haji musim ini.
“Kita bawa 19 chef dari Malaysia dan ditempatkan di tujuh dapur berbeza. Mereka ini berpengalaman dan menggunakan kreativiti masing-masing untuk memastikan rasa makanan lebih dekat dengan selera Malaysia,” katanya.

Tambah beliau, aspek keselamatan makanan menjadi keutamaan utama sepanjang operasi penyediaan makanan.
“Yang paling penting makanan itu selamat dimakan, tidak basi dan berkualiti. Kita tidak mahu berlaku keracunan makanan kerana tujuan utama penyediaan makanan ini adalah memastikan jemaah sihat dan dapat beribadah dengan selesa,” tambah beliau.
Mustakim berkata, untuk tahun ini, TH memperkenalkan inovasi baharu pek sajian makanan bagi memastikan hidangan yang diterima lebih menepati cita rasa rakyat Malaysia terutama dari segi kuah dan tekstur makanan.
Pembaharuan itu dibuat selepas pihaknya mengambil kira maklum balas jemaah sejak beberapa tahun lalu yang menyifatkan makanan di Tanah Suci agak kering.

“Kalau dahulu kuah mudah bercampur dengan nasi dan cepat kering kerana penggunaan bekas aluminium serta proses pemanasan makanan. Tahun ini kita perkenalkan pek sajian baharu yang membolehkan kuah, nasi dan lauk diasingkan dengan lebih baik supaya jemaah dapat menikmati makanan berkuah seperti di Malaysia,” katanya sambil menambah bekas makanan khas tiga kompartmen ini direka khusus oleh pembekal bumiputera dari Malaysia.
Beliau berkata, sebanyak hampir 1.8 juta unit pek makanan dibawa dari Malaysia menggunakan kira-kira 20 kontena khas bagi kegunaan musim haji tahun ini.
Beliau memaklumkan indeks kepuasan jemaah terhadap makanan di Madinah setakat ini mencecah 94 peratus.
Katanya, pihak berkuasa Arab Saudi juga sentiasa memantau tahap kebersihan dan suhu penyimpanan bahan mentah di dapur secara berkala.
“Maklum balas diterima sangat positif walaupun kita faham cita rasa rakyat Malaysia berbeza mengikut negeri dan latar belakang. Ada yang suka pedas, manis, jadi kita cuba seimbangkan semua itu menerusi kepelbagaian menu yang disediakan,” ujarnya.
Mengulas persoalan mengapa sarapan penuh tidak disediakan, Mustakim berkata, faktor kos dan logistik menjadi cabaran utama.

Katanya, dahulu TH tidak menyediakan makanan kepada jemaah haji dan mereka perlu membeli sendiri di luar.
Tetapi, ujarnya, TH dari semasa ke semasa cuba memberi keselesaan dan kemudahan supaya jemaah boleh fokus kepada ibadah haji dan sebab itu TH menyediakan makan minum, khususnya makan tengah hari dan makan malam.
Beliau berkata, penyediaan makanan oleh TH juga penting bagi menjamin keselamatan makanan dan mengelakkan kes keracunan akibat pembelian makanan tidak terkawal.
“Dulu di Makkah ramai orang jual makanan di tepi jalan, tetapi sekarang kerajaan Arab Saudi tidak lagi membenarkannya kerana faktor keselamatan dan kawalan kualiti makanan.
“Sebab itu kita pastikan semua dapur dan premis penyediaan makanan TH mempunyai permit serta sentiasa dipantau pihak berkuasa,” katanya.

Katanya, penyediaan makanan pagi memerlukan proses memasak lebih awal dan tempoh penghantaran yang panjang sehingga boleh menjejaskan kesegaran makanan.
“Untuk makan tengah hari pun proses penyediaan perlu bermula sekitar pukul 2 pagi lagi. Kita juga perlu menjaga tahap kesegaran makanan,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, jemaah tetap mempunyai banyak pilihan untuk sarapan melalui kafe yang disediakan TH.
“Kita sediakan pelbagai pilihan seperti nasi kerabu, nasi lemak, kuih-muih dan sebagainya. Ada jemaah yang mahu makan ringan dan ada yang mahu makan berat. Tetapi yang paling utama ialah makan tengah hari dan makan malam kerana itu fokus utama kita,” katanya. – MalaysiaGazette
















