Tangkap layar hantaran tular di media sosial yang mendakwa individu berkostum maskot mengganggu pelanggan di sebuah kedai makan di Kota Laksamana, Melaka.

MELAKA – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka akan menjalankan siasatan susulan tular hantaran di media sosial mendakwa seorang individu berkostum maskot mengganggu pelanggan di sebuah premis makanan di Kota Laksamana, di sini.

Pengarah JKM Melaka, Halyjah Muhamad berkata, Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Melaka Tengah (PKMD MT) telah diarahkan turun padang bagi menyantuni dan menyiasat kes berkenaan.

Menurutnya, operasi sebelum ini pernah dijalankan di kawasan terbabit, namun tiada individu papa ditemui ketika operasi dijalankan.

Pengarah Jabatan Kebajikan Melaka, Halyjah Muhamad

“Kalau ikut sebelum ini PKMD Melaka Tengah ada buat operasi di kawasan tersebut, tetapi ketika operasi tiada orang papa diambil.

“Saya sudah minta PKMD Melaka Tengah turun lagi dan santuni kes ini. Sekiranya individu terbabit bukan warganegara, saya akan rujuk kepada pihak imigresen,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas satu hantaran tular di media sosial yang mendakwa individu berkostum maskot mengganggu pelanggan di sebuah kedai makan di Kota Laksamana.

Malah, hantaran tersebut turut mendakwa, individu terbabit pernah bertindak tidak senonoh terhadap seorang pekerja wanita di kawasan berkenaan.

Dalam pada itu, Halyjah berkata, operasi berkaitan peminta sedekah dan orang papa sentiasa dijalankan dari semasa ke semasa di lokasi tumpuan awam sekitar bandar Melaka.

“Terbaharu, pihak daerah ada pergi ke Dataran Pahlawan pada 24 April lalu bagi operasi peminta sedekah,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast