KUALA LUMPUR – DAP menafikan dakwaan sesetengah pihak yang cuba mengaitkan pengumuman ruang kemasukan baharu untuk pelajar Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) ke program tertentu sebagai satu ‘janji manis’ selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP, Howard Lee Chuan How berkata, langkah tersebut bukanlah satu bentuk kemenangan mudah yang dirancang secara tergesa-gesa, sebaliknya ia merupakan sebahagian daripada komitmen jangka panjang kerajaan untuk menepati manifesto yang telah dipersetujui bersama.
“Saya hanya boleh cakap bagi pihak Pakatan Harapan (PH). Apa yang saya sebut itu adalah pendirian seorang ahli Parlimen DAP.
“Saya rasa lebih sesuai untuk kita bincang bagi pihak PH sebab saya duduk dalam jawatankuasa manifesto Pakatan Harapan dan perkara ini bukan sejak PRN Sabah pun,” katanya menerusi program SKOP MG.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panel program SKOP MG dengan tajuk ‘Apa Sebenarnya UEC: Kenapa Ia Ditentang’ bersama seorang lagi panel Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Prof Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong.
Howard berkata, berhubung tohmahan kononnya keputusan itu dibuat secara mendadak demi kepentingan politik semata-mata, Howard yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, gabungan tersebut mendedahkan perkara itu telah diteliti sejak dua tahun lalu.
“Perbincangan mendalam mengenainya turut melibatkan penyertaan daripada Barisan Nasional (BN) di peringkat Kerajaan Perpaduan bagi memantau status pelaksanaan janji-janji pilihan raya kedua-dua belah pihak.
“Kita duduk bincang bukan saja di peringkat PH, malah di peringkat Kerajaan Perpaduan di mana PH dengan BN ada duduk sekali untuk melihat kembali berapa peratus (manifesto) sudah selesai dan berapa yang masih belum selesai,” katanya.
Dalam pada itu, Howard berkata, dakwaan UEC adalah kemenangan DAP dilihat tidak tepat kerana parti itu hanya membawakan agenda menerusi menifesto pilihan raya.
“Semua parti bersetuju mengenainya (UEC) lagi-lagi yang bersama-sama PH.
“Ini adalah usaha oleh kerajaan bersama dengan parti-parti yang ada dalam kerajaan untuk menepati janji. Kalau itu salah, saya tak tahu apa betul,” tegasnya lagi. – MalaysiaGazette
















