KUALA LUMPUR – Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) mempersoalkan kenyataan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir bahawa Dasar Pendidikan Kebangsaan tidak boleh dikompromi demi memenuhi tuntutan mana-mana pihak.
Sedangkan, dalam masa sama menurut Presiden GPMS, Fazeree Fauzi, kerajaan masih meneruskan laluan inklusif kepada Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dengan syarat tertentu.
Menurutnya, GPMS berpandangan bahawa IPTA ialah institusi nasional yang perlu kekal berteraskan Dasar Pendidikan Kebangsaan dan sistem pendidikan negara.
Jelasnya, pendidikan tidak boleh dilihat hanya dari sudut akses akademik semata-mata sehingga mengabaikan asas pembinaan identiti nasional.
“Dalam masa sama, GPMS melihat pendirian Dong Zong sendiri membuktikan bahawa mereka masih tidak berpuas hati dengan syarat yang ditetapkan kerajaan termasuk keperluan lulus Bahasa Melayu dan Sejarah SPM.
“Maka, KPT tidak perlu meneruskan pelaksanaan laluan inklusif ini.
“Sekiranya KPT sendiri sudah memahami sensitiviti dan implikasi besar terhadap Dasar Pendidikan Kebangsaan, kenapa perlu diteruskan lagi?” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, isu itu sewajarnya diserahkan semula kepada Kabinet dan Parlimen untuk dibincangkan secara menyeluruh kerana apa yang sedang dilaksanakan KPT hari ini dilihat bercanggah dan tidak menyelesaikan pertikaian yang wujud.
Dalam masa sama, beliau mempersoalkan jaminan kerajaan sekiranya badan pengelola tersebut dibubarkan, menghadapi pertikaian atau berlaku perubahan dasar pada masa hadapan.
Katanya, ia memandangkan UEC dikelola oleh sebuah pertubuhan yang berdaftar di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS), bukannya berada sepenuhnya di bawah kerangka sistem pendidikan nasional negara.
“Persoalan ini penting kerana universiti awam ialah institusi nasional yang mesti dibina atas asas sistem pendidikan yang stabil, jelas serta berada di bawah kawal selia negara secara menyeluruh melalui Akta Pendidikan,” katanya.
Tambah beliau, sekiranya perkara itu diteruskan, maka GPMS akan menggerakkan satu himpunan Korban Akta Pendidikan pada 30 Jun ini di hadapan KPT.
Katanya, ia sebagai tanda bantahan terhadap usaha yang dilihat mencabar asas Dasar Pendidikan Kebangsaan.
Dalam jangka masa terdekat ini GPMS akan mengadakan sidang meja bulat bersama NGO-NGO Melayu Islam & Pendidikan. – MalaysiaGazette















