Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia, Nabil Halimi.

KUALA LUMPUR – Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nabil Halimi menyelar Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muahamad Akmal Saleh yang disifatkan terus memainkan politik ugutan untuk keluar daripada Kerajaan Perpaduan setiap kali timbul tekanan politik melibatkan UMNO.

Kenyataan itu dibuat susulan reaksi Dr Muhamad Akmal selepas pimpinan Pakatan Harapan (PH) mengkritik cadangan UMNO Johor untuk bertanding secara solo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sehingga tercetus kenyataan keras termasuk mahu ‘menguburkan UMNO’.

Menurut Nabil, tindakan Dr Muhamad Akmal yang kemudian mencadangkan supaya UMNO keluar sahaja daripada Kerajaan Perpaduan membuktikan beliau gemar bermain politik emosi dan provokasi.

“Sudahlah Akmal. Rakyat sudah penat mendengar ugutan sama yang berulang kali dimainkan kononnya mahu keluar daripada Kerajaan Perpaduan setiap kali timbul isu politik atau apabila hendak dekat pilihan raya.

“Daripada awal kerajaan dibentuk sampai sekarang, skripnya tetap sama. Bila tertekan sedikit terus mahu ugut keluar kerajaan, tetapi akhirnya tiada apa-apa pun berlaku,” katanya hari ini.

Nabil berkata, jika dr Muhamad Akmal benar-benar berasakan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan sebagai satu beban kepada UMNO, maka parti itu tidak perlu terus bermain politik tarik tali demi meraih perhatian penyokong.

“Kalau benar sudah tidak mampu bersama dan merasakan kerjasama ini menyusahkan, maka keluarlah secara terhormat dan lawan sahaja secara terbuka.

“Tidak perlu setiap kali menjelang pilihan raya hendak bermain drama politik dan ugutan kononnya mahu tinggalkan kerajaan sedangkan akhirnya kekal juga dalam kerajaan,” tegasnya.

Beliau berkata, rakyat kini semakin muak dengan politik berbentuk ancaman dan provokasi yang tidak membawa manfaat kepada kestabilan negara serta kebajikan rakyat.

“Kita lawan sahaja secara habis-habisan di medan demokrasi. Rakyat sendiri akan menilai siapa yang benar-benar ikhlas mahu membina negara dan siapa yang hanya gila kuasa serta menjadikan politik sebagai pentas drama,” katanya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast