MELAKA – Wanita berstatus ibu tunggal didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, hari ini selepas mengaku bersalah menawarkan pakej perkhidmatan seks dengan bayaran RM400 di sebuah hotel di sini, minggu lalu.
Majistret Uthman Abd Ghani menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Nasharimah Nanyan, 40, yang membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan, dia didapati telah menawarkan perkhidmatan seks bagi maksud pensundalan di sebuah bilik sebuah residen di Kota Syahbandar, Klebang dalam daerah Melaka Tengah di sini, jam 8.15 malam, 14 Mei lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes, tertuduh ditahan hasil risikan dalam Ops Noda oleh sepasukan polis yang menjalankan risikan di hotel terbabit berhubung penawaran akitiviti pensundalan di aplikasi WeChat.
Serbuan ke dalam bilik kemudian mendapati kewujudan aktiviti seks bersama seorang lelaki dan hasil pemeriksaan menemui beberapa barangan berkaitan seks.
Hasil soal siasat, tertuduh mengaku bekerja sebagai pelacur dan menawarkan pakej dengan bayaran RM400 untuk satu sesi selama satu jam.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Syaza Nur Sharif mencadangkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh atas perbuatannya itu.
Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Muhammad Izzuddin Ab Malek, yang mewakili tertuduh bagaimanapun merayu supaya dikenakan denda yang ringan kerana tertuduh merupakan ibu tunggal yang perlu menyara anak.
Tertuduh juga hanya bekerja sebaga pekerja hotel dengan pendapatan RM1,700 sebulan selain sudah menyesali perbuatan dan tidak akan mengulanginya lagi.
Selepas mendengar hujahan kedua belah pihak Majistret Uthman menjatuhkan hukuman denda RM2,000 atau satu bulan penjara. Tertuduh membayar denda berkenaan. – MalaysiaGazette
















