Mohd Yussof Latiff.

GEORGE TOWN – Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang) menggesa kerajaan mengkaji semula keputusan membenarkan lepasan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) memasuki institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dengan mengambil kira Perlembagaan, undang-undang serta kepentingan kedaulatan negara.

Presidennya, Tan Sri Mohd Yussof Latiff berkata, pihaknya menolak keputusan tersebut dan menegaskan kerajaan perlu menilai semula dasar berkenaan sebelum ia dilaksanakan secara meluas.

“Kita menggesa kerajaan mengkaji semula keputusan tersebut dengan mengambil kira Perlembagaan, undang-undang serta kepentingan kedaulatan negara.

“Jika kerajaan tidak mengendahkan tuntutan itu, kami akan membawa usul dalam mesyuarat NGO-NGO Melayu di ibu negara bagi menimbang tindakan mencabar keputusan kerajaan di mahkamah,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Mengulas lanjut beliau menyifatkan keputusan kerajaan membenarkan lepasan UEC memasuki IPTA sebagai satu pengkhianatan kepada pembinaan negara bangsa berteraskan Dasar Pendidikan Bahasa Kebangsaan.

Jelas beliau, isu UEC telah lama berakar dalam perjuangan orang Melayu yang menurutnya berkait dengan asakan demi asakan oleh Dong Zong dalam usaha memperjuangkan pendidikan bahasa Cina di negara ini.

“Pengasas Dong Zong ialah Lim Lian Geok dari Ipoh, Perak manakala penasihatnya Dr Yen Yuen Chang yang menetap di Singapura, dan kedua-duanya didakwa menjadi perancang utama gerakan menentang Laporan Pelajaran Rahman Talib 1960 serta Akta Pendidikan 1961.

“Tindakan ketika itu membawa kepada pelucutan kewarganegaraan Lim Liang Geok pada 1964 serta pengharaman kemasukan Dr Yen Yuen Chang ke Malaysia.

“Malah, sejak Akta Pendidikan 1961 dilaksanakan, kerajaan telah berhenti mengadakan peperiksaan menengah rendah dan menengah tinggi untuk sekolah menengah Cina kerana UEC merupakan silibus sekolah persendirian yang didakwa diambil dari Taiwan,” katanya.

Tambah beliau, standard mata pelajaran tersebut dalam UEC adalah terlalu rendah, selain dijalankan dalam bahasa lain serta tidak mengikut silibus Kementerian Pendidikan.

“Justeru keputusan kerajaan membuka laluan kemasukan ke IPTA kepada lepasan UEC adalah sesuatu bercanggah dengan dasar pembinaan negara bangsa dan Akta Pendidikan 1996 yang menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama.

“Selain itu, menyamakan pendekatan itu dengan kemasukan pelajar maahad tahfiz, tidak sepatutnya kerana ada dalam kalangan mereka menduduki peperiksaan SPM bagi membolehkan pengajian

“Hujah KPT bahawa pembukaan kemasukan ke IPTA bukan pengiktirafan UEC adalah tidak boleh diterima dan mengelirukan rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast