MAKKAH – Perkhidmatan penghantaran barangan jemaah haji Malaysia ke tanah air dijangka mencatat peningkatan kepada 400 tan tahun ini berbanding 370 tan pada musim haji lalu.
Penolong Pengurus Unit Perkhidmatan Luar Lembaga Tabung Haji (TH), Mohd Roshidi Loman berkata, peningkatan itu didorong oleh peningkatan belian jemaah yang semakin menggalakkan sebelum hari wukuf.
Menurut beliau, jemaah haji Malaysia telah menghantar sebanyak 133 tan barangan dalam tempoh 22 hari operasi sejak perkhidmatan itu bermula pada 18 April lalu.
“Purata penghantaran sekarang (bagi lima syarikat) mencecah lima tan sehari dan jumlah itu dijangka terus meningkat terutama sebelum jemaah bergerak ke Arafah dan Mina.
“Kebanyakan jemaah mahu menghantar barangan lebih awal supaya mereka dapat fokus kepada ibadah ketika operasi masyair nanti,” katanya ketika ditemui di sini.

Mohd Roshidi menambah, antara barangan paling banyak dihantar ialah makanan seperti kurma, kacang dan pelbagai cenderamata serta pakaian termasuk jubah.
Menurutnya, negeri Selangor merekodkan jumlah penghantaran tertinggi setakat ini.
Katanya, bagi memastikan urusan penghantaran berjalan lancar dan selamat, TH melantik lima syarikat logistik rasmi selepas melalui proses penilaian ketat melibatkan aspek kewangan, operasi dan sistem pengesanan barang.
Lima syarikat terbabit ialah MasKargo Logistics, FGV Transport Services, TH Travel & Services, KTH Logistics dan Pos Malaysia.
“TH menetapkan kadar penghantaran seragam iaitu 18 riyal sekilogram bagi Semenanjung Malaysia dan 23 riyal sekilogram untuk Sabah serta Sarawak,” tambah beliau.
Beliau berkata, tempoh penghantaran ke Malaysia dianggarkan antara tujuh hingga 21 hari bergantung kepada proses logistik dan penerbangan.
Sementara itu, Malaysia Gazette dimaklumkan perkhidmatan tersebut di penginapan jemaah Malaysia Al Tayseer sahaja menghantar sekurang-kurangnya 200 kotak ke tanah air setiap hari.
“Sehari lebih kurang tiga tan penghantaran. Paling kurang (kotak yang dihantar sehari) 150,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Roshidi mengingatkan jemaah supaya hanya menggunakan syarikat yang dilantik TH bagi mengelakkan masalah kehilangan barang atau kesukaran membuat pengesanan.
Katanya, TH tidak akan bertanggungjawab sekiranya jemaah menggunakan perkhidmatan penghantaran yang tidak dilantik secara rasmi.
“Kita nasihatkan jemaah menggunakan lima syarikat yang dilantik kerana lebih mudah untuk kita membuat semakan dan tindakan sekiranya berlaku kerosakan atau kehilangan barang.
“Kalau ada kerosakan barang apabila sampai di Malaysia, jemaah boleh membuat aduan kepada TH dan kita akan berhubung dengan syarikat berkaitan untuk tindakan lanjut,” katanya.
Beliau turut menegaskan penghantaran air zamzam tidak dibenarkan sama sekali. – MalaysiaGazette
















