Menteri Pertahanan Indonesia, Sjafrie Sjamsoeddin

JAKARTA – Menteri Pertahanan Indonesia mengesahkan surat hasrat berhubung pemberian akses kepada pesawat tentera Amerika Syarikat untuk menggunakan ruang udara Indonesia telah ditandatangani.

Sjafrie Sjamsoeddin pada Selasa berkata, beliau sendiri menandatangani surat berkenaan namun menegaskan, tiada sebarang komitmen dibuat.

Tambah beliau, surat hasrat yang ditandatangani di Washington itu menyebut mengenai penghormatan terhadap integriti wilayah setiap negara, keperluan mekanisme sekiranya Indonesia bersetuju memberikan akses ruang udara, serta penghormatan terhadap undang-undang tempatan.

“Kami tidak membuat sebarang komitmen dengan AS mengenai ruang udara. Kami menjunjung Perlembagaan dan kepentingan nasional kami,” katanya dalam satu sesi taklimat di Parlimen.

Isu akses penerbangan melintasi ruang udara itu mencetuskan kontroversi di Indonesia bulan lalu.

Sjafrie berkata Hegseth telah membuat permintaan akses penerbangan itu tahun lalu semasa mesyuarat ASEAN dengan memberi alasan kecemasan ketika membuat permintaan tersebut, namun tidak memberikan butiran lanjut.

Selepas Hegseth dan Sjafrie bertemu di Washington bulan lalu, Pentagon memaklumkan bahawa kedua-dua negara telah mewujudkan kerjasama utama dalam bidang pertahanan dan menyenaraikan beberapa langkah untuk memperkukuh hubungan pertahanan.

Sjafrie berkata kerjasama itu merangkumi pemodenan ketenteraan Indonesia, namun “ia tidak menyebut sebarang peralatan ketenteraan”.

Tambahnya, AS akan membantu melatih anggota tentera Indonesia.- AGENSI

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast