TEHRAN – Pemerintah tertinggi tentera Iran berikrar akan melancarkan serangan “dahsyat dan menghancurkan” terhadap Amerika Syarikat (AS) susulan gelombang baharu serangan udara AS yang menyasarkan kedudukan tentera di beberapa wilayah selatan negara itu.
Agensi berita IRNA melaporkan, Angkatan Tentera Iran mengeluarkan amaran itu dengan menyatakan tentera AS akan berdepan akibat serius susulan tindakan agresif terbaharunya.
“Sebagai tindak balas terhadap pencerobohan udara oleh tentera AS terhadap beberapa lokasi di Sistan dan Baluchestan serta Hormozgan, angkatan tentera Republik Islam Iran akan melancarkan serangan yang menghancurkan dan dahsyat terhadap musuh Amerika yang hina dan jahat,” menurut kenyataan rasmi badan ketenteraan itu.
Kenyataan berkenaan turut menegaskan semakin Washington berterusan dengan “tingkah laku jahatnya” di rantau itu, semakin besar kerugian yang terpaksa ditanggungnya.
“Kami telah berulang kali menyatakan dan membuktikan melalui tindakan bahawa dalam apa jua keadaan sekalipun, kami tidak akan berkompromi dengan hak rakyat Iran yang berani dan akan mengenakan kos yang tinggi terhadap musuh Amerika,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, jurucakap Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC), Brigedier Jeneral Hossein Mohebbi, memberi amaran bahawa “hukuman berat menanti pihak yang melakukan pencerobohan” dan Amerika akan amat menyesali pelancaran serangan terbaharu itu.
Reaksi tersebut susulan siri baharu tindakan agresif AS yang menyasarkan daerah Chabahar dan Konarak di Sistan dan Baluchestan, selain beberapa kawasan lain. – Agensi
















