NUWAKOT – Angka korban akibat banjir glasier di Himalaya melepasi paras 1,000 pada hari Selasa, ketika pasukan penyelamat China dan Nepal meneruskan pencarian mangsa yang terselamat, termasuk puluhan individu yang dikhuatiri terperangkap di dalam terowong jana kuasa hidro.
Hampir 4,500 orang masih hilang selepas gelombang besar air sejuk, batu dan serpihan akibat runtuhan glasier yang mengalir deras pada Rabu lalu hingga meninggalkan kemusnahan besar di Nepal.
Pasukan penyelamat Nepal menggali, menggerudi dan meletupkan bahan letupan bagi menembusi timbunan serpihan dalam usaha mengejar masa dalam keadaan sukar untuk menyelamatkan kira-kira 100 pekerja jana kuasa hidro yang dipercayai terperangkap di beberapa terowong.
Setakat ini, hanya mayat ditemui dari terowong yang dipenuhi lumpur.
“Kami memberi tumpuan kepada usaha mencari dan menyelamat di terowong, dan kerja kami masih diteruskan,” kata jurucakap Tentera Nepal, Raja Ram Basnet, kepada AFP.
Malah, askar juga dikerahkan untuk mengumpulkan mayat dan mencegah penularan penyakit.
Pada masa sama, pihak berkuasa mula mengebumikan ratusan mayat yang belum dikenal pasti selepas sampel DNA diambil.
Perdana Menteri Nepal, Balendra Shah, menyifatkan bencana itu sebagai sesuatu yang “tidak dapat dibayangkan dan memilukan”.
Sementara itu, di ibu negara Kathmandu, orang ramai beratur mencari anggota keluarga yang masih hilang dengan mempamerkan gambar mangsa pada dinding panjang di luar sebuah hospital.
Debu Sapkota, 58, seorang pemandu, datang untuk sambil membawa gambar ibu mentuanya yang berusia 83 tahun dan cucunya yang hilang di bandar Trishuli Bazaar selepas dihanyutkan arus deras minggu lalu.
Amaran telah dibunyikan, namun warga emas itu “terlalu tua untuk berlari”. Cucu saya cuba membantunya melarikan diri tetapi kedua-duanya dihanyutkan arus,” katanya.
Sapkota mengakui dia tidak lagi berharap mereka terselamat selepas ada saksi melihat kedua-duanya dihanyutkan arus deras.
“Saya berada di sini dengan harapan dapat menemukan mayat mereka,” katanya sambil memegang gambar kedua-dua wanita yang hilang itu.
Di daerah Chitwan, sebahagian besar komuniti dihanyutkan arus, menyebabkan keluarga kehilangan tempat tinggal dan terpaksa menggunakan tempat perlindungan sementara ketika hujan lebat terus melanda.
Jalan raya dan berpuluh-puluh jambatan musnah, manakala loji jana kuasa turut rosak.
“Terlalu banyak cabaran yang perlu dihadapi,” kata pegawai polis E. Hawadi di daerah Nuwakot yang terjejas teruk.
Di Nuwakot, jurugambar AFP pada Selasa melihat penduduk membersihkan lumpur dan runtuhan rumah mereka untuk mencari barangan yang masih boleh digunakan.
Sebahagian daripada mereka membersihkan tanah dan memasang kepingan plastik untuk dijadikan tempat perlindungan di kawasan runtuhan.
Setakat ini seramai 583 warga asing yang masih hilang di Nepal dan 261 di China, melibatkan lebih 30 negara.
Mereka termasuk pelancong yang datang untuk aktiviti pendakian di Himalaya, selain penganut Hindu yang datang ke Gunung Kailash, Tibet.
Nepal berkata, 987 mayat telah ditemui, manakala 3,916 orang masih hilang manakala media Kerajaan China pula melaporkan 16 kematian dan 546 orang masih hilang.
Jumlah keseluruhan korban kini mencecah 1,003 orang, manakala 4,462 masih hilang.
Nepal adalah sebuah negara yang majoritinya luar bandar dengan 30 juta penduduk, menyumbang sedikit kepada pelepasan karbon hingga mendorong pemanasan global yang banyak berpunca daripada negara kaya dan perindustrian, yang kini terpaksa menanggung kesannya.
Saintis berkata, Himalaya, banjaran gunung tertinggi di dunia, mencair dengan lebih pantas susulan peningkatan suhu global.
Ekonomi Nepal juga sudah berada di bawah tekanan, dengan sumber yang terhad untuk menangani bencana pada skala sedemikian.
Kathmandu memberi amaran bahawa kos pembinaan semula mungkin mencecah “berbilion dolar”. – Agensi
















