MELAKA – Seorang peniaga burger didakwa di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini atas pertuduhan menampar dan menggigit bayi lelakinya berusia 10 bulan hanya kaki mangsa terkenanya ketika sedang tidur.

Tertuduh, Wan Faddli Abd. Saad, 30, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Uthman Abd. Ghani sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja mendatangkan cedera terhadap anak lelakinya yang berusia 10 bulan dengan cara menampar dan menggigit mangsa.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah beralamat di Lorong Abdullah Jalan AMJ, Semabok dalam daerah Melaka Tengah kira-kira jam 4 pagi 6 Mei lalu.

Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai dua tahun atau dikenakan denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Difahamkan laporan polis dibuat isteri tertuduh apabila dan didakwa berpunca apabila kaki bayinya itu terkena pada lelaki tersebut ketika mereka sekeluarga sedang tidur.

Tertuduh yang terjaga kemudian kemudian mengamuk dan bertindak memukul anaknya itu sehingga cedera selain turut mengugut untuk membuang mangsa ke dinding.

Lelaki itu dikatakan turut mengugut untuk mematahkan kaki dan membunuh mangsa sekiranya pengadu masuk campur.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Syaza Nur Sharif mencadangkan tertuduh dikenakan jaminan sebanyak RM10,000 berserta syarat tambahan tidak mengganggu mangsa.

Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Muhammad Izzuddin Ab. Malek yang mewakili tertuduh bagaimanapun merayu jaminan rendah dengan alasan anak guamnya hanya berpendapatan bulanan sekitar RM1,000 sebagai peniaga burger.

Selepas mendengar hujah kedua belah pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dan bersetuju dengan syarat tambahan dipohon pihak pendakwaan.

Kes akan disebut semula tarikh 23 Jun ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast