Telekom Malaysia (TM)

KUALA LUMPUR – Telekom Malaysia (TM) sedia memberi kerjasama penuh kepada Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) berhubung kes bekas pegawai kanan TM USA Inc yang didakwa terlibat dalam penyelewengan dana lebih AS$20 juta.

Syarikat telekomunikasi itu mendedahkan, pihaknya sebelum ini telah memulakan siasatan dalaman selepas mengesyaki berlaku salah laku individu terbabit, yang seterusnya membawa kepada pemecatan mereka.

“Maklumat daripada siasatan itu kemudiannya dikongsi dengan pihak berkuasa berkaitan.

“Perkara ini kini berada di bawah bidang kuasa DOJ dan mahkamah Amerika Syarikat,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan, hari ini.

Tegasnya, TM sentiasa mengekalkan piawaian tadbir urus dan pematuhan yang ketat serta tidak bertolak ansur terhadap sebarang bentuk salah laku.

Terdahulu media melaporkan, tiga pegawai kanan Telekom Malaysia (TM) dihadapkan ke mahkamah Amerika Syarikat atas tuduhan menyeleweng lebih AS$20 juta daripada syarikat telekomunikasi milik kerajaan Malaysia itu.

Jabatan Kehakiman AS (DOJ) berkata, Mohd Hafiz Lockman, Mohd Yuzaimi Yusof dan Khanh Thuong Nguyen, yang merupakan eksekutif kanan di anak syarikat TM di AS, didakwa menggunakan kenyataan palsu dan rekod dipalsukan untuk menyalurkan dana syarikat secara haram serta memperdaya rakan niaga, pembekal, juruaudit dan penyelia di AS dalam pelbagai kejadian antara Julai 2020 hingga Februari 2026.

Penolong Pengarah FBI yang bertanggungjawab terhadap kes itu, James C. Barnacle Jr. dalam satu kenyataan berkata, tiga individu berkenaan didakwa menjalankan skim pecah amanah yang disengajakan dan terancang, termasuk memalsukan rekod korporat demi kepentingan kewangan sendiri.

Mohd Hafiz ditahan di lapangan terbang San Francisco, manakala dua lagi tertuduh menyerah diri kepada pihak berkuasa bulan lalu. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast