SEPANG – Institusi Diraja perlu terus dipertahankan sebagai tonggak kestabilan negara dan simbol penyatuan rakyat dalam negara majmuk seperti Malaysia.
Pengerusi Teras Sosial Musyawarah Nasional, Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, polemik membabitkan Institusi Diraja kebelakangan ini menunjukkan masih ada pihak gagal memahami peranan sebenar Raja Berperlembagaan dalam sistem negara.
Beliau berkata, Malaysia dibina atas asas Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan yang menjadi tunjang kestabilan politik sejak merdeka.
Katanya, Institusi Diraja bukan sekadar simbol adat dan budaya, tetapi menjadi payung negara serta sebahagian daripada mekanisme semak dan imbang kepada Perlembagaan.
“Masyarakat perlu memahami bahawa Institusi Diraja adalah sebahagian daripada kontrak sosial dan asas keharmonian negara sejak sebelum merdeka.
“Demokrasi memberi hak untuk berbeza pandangan, namun ia juga menuntut adab serta penghormatan terhadap institusi negara supaya kestabilan dan perpaduan rakyat terus terpelihara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan beberapa tokoh politik yang mempertikai kedudukan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menegur beberapa pemimpin DAP supaya lebih memahami Rukun Negara serta menghormati institusi diraja.
Isu itu tercetus selepas bekas pemimpin DAP, Tony Pua mempertahankan pandangan bahawa kuasa raja di Malaysia adalah terhad dan tidak mengikat dalam semua urusan pentadbiran negara.
Mengulas lanjut Mohammad Shatar berkata, rakyat juga tidak boleh melupakan sejarah pembentukan negara yang menyaksikan Raja-Raja Melayu memainkan peranan penting dalam proses mencapai kemerdekaan.
Beliau berkata, penentangan terhadap Malayan Union pada 1946 akhirnya membawa kepada Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 yang ditandatangani Raja-Raja Melayu bersama British.
“Melalui persefahaman itu, kewarganegaraan diberikan kepada kaum bukan Melayu dengan syarat tertentu termasuk taat setia kepada Persekutuan.
“Orang Melayu menerima prinsip jus soli, manakala kaum lain menerima kedudukan Raja-Raja Melayu, Islam sebagai agama Persekutuan dan hak istimewa Melayu serta Bumiputera seperti termaktub dalam Perlembagaan,” katanya.
















