KUALA LUMPUR – Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya telah selesai menyiasat aduan tular berhubung penggunaan Kad Rekod Pemantauan Pesakit Denggi berbahasa Cina di Klinik Kesihatan Setapak.
Jelasnya, kad dalam Bahasa Mandarin itu disediakan bagi membantu komunikasi pesakit di kawasan berkepadatan tinggi dengan kes denggi.
Tambah jabatan itu, selain dalam Bahasa Mandarin, pihak Klinik Kesihatan Setapak turut menyediakan kad pemantauan dalam beberapa bahasa lain sebagai inisiatif sokongan komunikasi kepada pesakit dan penjaga mengikut kesesuaian.
“Siasatan mendapati insiden berlaku pada 18 Mei 2026 melibatkan seorang pesakit denggi kanak-kanak yang hadir mendapatkan rawatan bagi kes disyaki demam denggi.
“Dalam kes ini, telah berlaku kesilapan pemberian kad berlainan bahasa kepada penjaga pesakit yang tidak disengajakan.
”Walau bagaimanapun, penerangan berkaitan rawatan dan pemantauan telah doberikan oleh pegawai perubatan kepada pesakit dalam Bahasa Melayu, termasuk catatan bertulis pada kad tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, JKWPKL&P telah mengambil langkah pembaikan serta-merta bagi memastikan pemberian kad pemantauan dibuat dengan lebih teliti dan bersesuaian, di samping mengekalkan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dalam urusan penyampaian perkhidmatan kesihatan kerajaan.
Jabatan itu juga turut memohon maaf atas kekeliruan yang berlaku. -MalaysiaGazette
















