Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan. Foto SADIQ SANI, 04 APRIL 2026. (GAMBAR FAIL)

JEDDAH – Malaysia sedang menunggu siasatan lanjut berhubung laporan kononnya lima rakyat ditahan kerana memasuki Makkah tanpa permit.

“Kami akan menunggu siasatan,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan ketika ditemui selepas membentangkan kertas di Grand Hajj Symposium di sini hari ini.

Saudi Gazette hari ini melaporkan pasukan keselamatan haji negara ini menahan lima rakyat Malaysia kerana melanggar peraturan dengan cuba memasuki Makkah tanpa permit melalui jalan dan lembah tidak berturap untuk menunaikan ibadah haji.

Susulan penahanan itu, prosedur undang-undang sudah dimulakan terhadap mereka.

Sehubungan itu, Direktorat Jeneral Mujahidin menggesa semua individu untuk mematuhi peraturan kerana sebarang pelanggaran akan mengakibatkan hukuman undang-undang.

Sebelum ini Direktorat Am Keselamatan Awam menegaskan denda sehingga SAR20,000 (RM20,945) akan dikenakan terhadap sesiapa yang didapati menunaikan atau cuba menunaikan haji tanpa permit, lapor Agensi Berita Saudi (SPA).

Larangan itu turut membabitkan pemegang semua jenis visa lawatan yang cuba memasuki atau berada di Makkah dan kawasan Tanah Suci dalam kawasan yang ditetapkan, berkuat kuasa 1 Zulkaedah hingga 14 Zulhijjah 1447 Hijrah.

Direktorat itu menjelaskan kawasan larangan tanpa permit yang ditetapkan merangkumi Makkah serta semua pintu masuk rasmi dan tidak rasmi, kawasan pusat, Tanah Suci, stesen Kereta Api Berkelajuan Tinggi Haramain di Al-Rusayfah, sekatan keselamatan, pusat pemeriksaan dan sekatan sementara.

Ia turut memaklumkan penduduk serta mereka yang melanggar peraturan dengan cuba menyusup masuk untuk menunaikan haji akan dihantar pulang ke negara asal masing-masing dan dilarang memasuki Arab Saudi selama 10 tahun. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast