KUALA LUMPUR – Malaysia Convention & Exhibition Bureau (MyCEB) terus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi utama acara perniagaan antarabangsa apabila sekali lagi menyertai IMEX Frankfurt 2026 yang berlangsung di Messe Frankfurt, Jerman bermula 19 sehingga 21 Mei ini.
Ketua Pegawai Eksekutif MyCEB, Tan Mei Phing, berkata penyertaan berterusan Malaysia sejak tahun 2011 membuktikan komitmen negara dalam memperluas jaringan kerjasama antarabangsa serta menarik lebih banyak acara global ke Malaysia.

“IMEX Frankfurt menyediakan platform strategik untuk kami berinteraksi secara langsung dengan komuniti acara perniagaan global, memperkukuh hubungan sedia ada serta meneroka peluang baharu untuk Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahan pula, katanya, IMEX Frankfurt 2026 diiktiraf sebagai antara platform terbesar dunia bagi industri acara perniagaan dengan edisi tahun ini dijangka menghimpunkan lebih 3,000 pempamer global dan lebih 12,000 pemain industri termasuk kira-kira 4,000 pembeli hos daripada lebih 150 negara.

Ini sekaligus peluang besar untuk MyCEB yang merupakan agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya untuk mempromosikan kehebatan Malaysia dalam penganjuran acara bertaraf dunia yang melibatkan sektor mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE).
MyCEB berkata, sepanjang pameran tiga hari itu, Pavilion Malaysia bakal menampilkan pelbagai pengisian termasuk pelancaran rasmi pavilion berkenaan selain kemunculan maskot Tahun Melawat Malaysia 2026 iaitu Wira dan Manja.

Selain itu, sesi padanan perniagaan bersama pembeli antarabangsa turut diadakan bagi meneroka potensi kerjasama serta membawa lebih banyak acara antarabangsa ke negara ini.
MyCEB berkata, platform itu juga memberi peluang kepada delegasi antarabangsa untuk mengenali dengan lebih dekat infrastruktur, lokasi acara serta rekod prestasi Malaysia dalam mengendalikan acara perniagaan berskala besar.
Menurutnya, penyertaan strategik dalam platform global seperti IMEX Frankfurt akan terus membantu meningkatkan keterlihatan Malaysia di peringkat antarabangsa sekaligus menyokong pertumbuhan mampan industri acara perniagaan negara. – MalaysiaGazette
















