KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memanggil bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua susulan hantaran di Facebook beliau yang menyentuh berkenaan isu Raja Berperlembagaan dan Rukun Negara.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, pihaknya telah membuka kertas siasatan bersabit kes itu selepas menerima 28 laporan terhadap Tony Pua di seluruh negara.
Menurutnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan iaitu kenyataan yang mendatangkan khianat awam serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Kita telah memulakan siasatan selepas menerima laporan polis dari seluruh negara.
“Pihak polis akan memanggil Tony Pua dalam masa terdekat bagi membantu siasatan,” katanya ringkas kepada media tempatan hari ini.
Semalam, Tony Pua menerusi Faceboook berkata, Malaysia mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan, namun kuasa Raja adalah terhad kepada aspek tertentu seperti adat Melayu, Islam serta peranan Perlembagaan seperti pelantikan Menteri Besar dan perkenan pembubaran Dewan Undangan Negeri.
“Ya, saya setia kepada Raja dan Negara, serta akan mematuhi Kedaulatan Undang-Undang yang berasaskan Perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi negara. Bukan dekri atau titah,” katanya.
Kenyataan itu dimuat naik Tony Pua tidak lama selepas Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menyarankan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Wong Siew Ki dan bekas EXCO Selangor, Ronnie Liu hadir sekurang kurangnya seminggu sekali ke Dataran Selangor bagi membaca Rukun Negara yang ditulis di plak di situ selain menghormati institusi raja. – MalaysiaGazette
















