KUALA LUMPUR – Seramai tiga individu terdiri daripada pengarah, pegawai eksekutif dan pemilik syarikat direman selepas disyaki mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu melibatkan tuntutan rawatan kesihatan kira-kira RM53,000.

Perintah reman selama tujuh hari sehingga 26 Mei depan terhadap pasangan suami isteri berusia lingkungan 40-an dikeluarkan oleh Majistret A Hafiizh Abu Bakar.

Sementara itu, seorang lagi suspek lelaki yang juga seorang pengarah berusia lingkungan 50-an direman lima hari sehingga 24 Mei selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan  Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Ipoh, pagi semalam.

Menurut sumber, ketiga-tiga suspek ditahan antara kira-kira jam 4.50 petang dan 9.30 malam kelmarin, ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Perak.

“Siasatan awal mendapati, kesemua suspek disyaki bersubahat melakukan perbuatan itu pada tahun 2024 hingga 2025.

“Mereka dipercayai telah mengemukakan dokumen yang mengandungi butir matan palsu kepada sebuah agensi kerajaan bagi menuntut perbelanjaan rawatan pemulihan fizikal, bagaimanapun rawatan tersebut tidak dilakukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Pengarah SPRM Perak, Azizul Ahmad Sarkawi ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast