Gambar hiasan

JOHOR BAHRU – Bekas pengawal keselamatan terlepas hukuman gantung selepas Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepas dan membebaskannya daripada tuduhan mengedar dan memiliki dadah, empat tahun lalu.

Hakim Atan Mustaffa Yussof Ahmad membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh, P. Kathiravan, 33.

Dalam hujahan penghakimannya, Atan Mustaffa berkata, kes pendakwaan terjejas dari dasarnya apabila maklumat polis berkaitan serbuan yang dilakukan adalah ke atas sebuah kenderaan iaitu Honda Odyssey dan bukannya kepada individu iaitu tertuduh sebagai pengedar dadah.

Beliau berkata, pihak pendakwaan gagal membuktikan bahawa tertuduh adalah pemilik atau individu yang mempunyai jagaan dan kawalan eksklusif ke atas kenderaan berkenaan, malah turut disahkan tiada asid deoksiribonukleik (DNA) tertuduh ditemui pada stereng dan tombol gear kenderaan.

“Bagi pertuduhan kedua juga, kesimpulan yang sama dibuat apabila pihak pendakwaan gagal membuktikan elemen penting terhadap jagaan, kawalan dan pengetahuan tertuduh pada dadah yang ditemui di ruangan sama dalam kereta Honda Odyssey itu.

“Standard pembuktian jenayah tidak boleh dilonggarkan untuk menutup kelompangan material dalam kes pendakwaan dan selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan setiap intipati pertuduhan secara kredibel, saya memutuskan bahawa tiada kes prima facie dibuktikan.

“Oleh yang demikian, tertuduh dilepas dan dibebaskan atas kedua-dua pertuduhan tanpa dipanggil untuk membela diri. Dia hendaklah dilepaskan daripada tahanan serta-merta,” katanya.

Bagi pertuduhan pertama, Kathiravan didakwa mengedar dadah berbahaya iaitu methamphetamine seberat 712.8 gram dan pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Bagi pertuduhan kedua pula, dia didakwa memiliki dadah berbahaya iaitu ketamin seberat 1.06 gram dan tertuduh didakwa di bawah Seksyen 12(2) akta sama.

Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di tepi jalan hadapan sebuah kafe di Jalan Austin 3/2, Taman Mount Austin di sini pukul 5.45 petang pada 26 Mei 2022.

Pendakwaan yang dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Juanita Md Said mengemukakan lapan saksi sepanjang prosiding perbicaraan kes.

Tertuduh pula diwakili peguam Mohd Daud Ismail dan Jackson Daniel. – MalaysiaGazette

 

 

 

 

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast