GEORGE TOWN – Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) Pulau Pinang mengecam tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tikus, Joshua Woo yang didakwa memuat naik video tarian dirakam di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas persidangan tamat ke media sosial.
Pengerusinya, Oh Tong Keong berkata, tindakan tersebut tidak sesuai dan disifatkan sebagai tidak menghormati kemuliaan dewan.
Menurutnya, Gerakan tidak membantah mana-mana ahli politik menghasilkan kandungan kreatif di media sosial seperti menari, menyanyi atau membuat video bagi menarik perhatian netizen tetapi mereka perlu bijak membezakan tempat, keadaan serta menghormati institusi dan etika dewan.
“DUN adalah tempat suci untuk wakil rakyat membahaskan dasar, menyemak pentadbiran kerajaan dan memperjuangkan suara rakyat, bukannya lokasi untuk menghasilkan kandungan hiburan atau mengejar populariti media sosial.
“Sebagai seorang ADUN, Joshua Woo seharusnya menunjukkan teladan yang baik serta menjaga martabat dan kewibawaan dewan, bukannya melakukan tindakan yang boleh dianggap sebagai mencari publisiti murahan,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, perbuatan itu amat dikesali dan menimbulkan persoalan sama ada DAP masih menghormati institusi demokrasi serta budaya berparlimen.
Dalam pada itu, Tong Keong turut mengkritik segelintir pemimpin kerajaan yang menurutnya terlalu mengejar populariti media sosial sehingga mempolitikkan hiburan dan menjadikan institusi rasmi sebagai bahan kandungan demi meraih tontonan serta pendedahan.
Katanya, ia langsung terpesong daripada profesionalisme dan kewibawaan yang sepatutnya dimiliki oleh seorang wakil rakyat.
“Rakyat lebih mengambil berat tentang isu kos sara hidup, tekanan ekonomi, banjir, trafik dan pembangunan negeri, bukannya aksi tarian wakil rakyat di dalam dewan.
“Wakil rakyat yang dipilih rakyat diharapkan mengambil serius dalam mentadbir negeri dan menyelesaikan masalah rakyat, bukannya terlalu mementingkan populariti media sosial atau mencipta sensasi demi perhatian.
“Sehubungan itu, kita menggesa pihak terlibat tampil memohon maaf secara terbuka kepada rakyat selain menyeru semua ADUN tanpa mengira pihak kerajaan atau pembangkang supaya bersama-sama memelihara kemuliaan dan kehormatan Dewan Undangan Negeri agar insiden seumpama itu tidak berulang,” katanya. – MalaysiaGazette
















