Daniel Khoo.

KUALA LUMPUR – Kenyataan yang dilihat memperkecil atau mempertikaikan institusi diraja tidak seharusnya dinormalisasikan dalam ruang politik negara, kata Ketua Pegawai Perhubungan Awam Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Daniel Khoo.

Beliau berkata, semua pihak termasuk ahli politik perlu lebih berhati-hati apabila mengeluarkan kenyataan berkaitan Raja-Raja Melayu kerana ia melibatkan sensitiviti rakyat serta keharmonian negara.

Menurutnya, rakyat selama ini dapat melihat sendiri bagaimana Raja-Raja Melayu sentiasa mengambil berat tentang kebajikan rakyat dan kestabilan negara.

“Kita boleh lihat sendiri bagaimana Raja saya di Pahang termasuk Tengku Mahkota Pahang sentiasa turun padang melihat keadaan rakyat, mendengar masalah masyarakat dan membantu rakyat tanpa mengira kaum.

“Sebab itu saya rasa tidak wajar apabila ada pihak termasuk ahli politik terutama mantan Ahli Parlimen, Tony Pua mengeluarkan kenyataan menyentuh soal kuasa Raja-Raja sehingga dilihat merendahkan institusi diraja,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Tengku Mahkota Pahang Tengku, Hassanal Ibrahim Alam Shah Sultan Abdullah berkenan melambaikan tangan kepada orang ramai.

Daniel berkata, walaupun Malaysia mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan, perkara itu tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk memperkecil atau meremehkan kedudukan Raja-Raja Melayu.

“Jangan kerana bercakap soal kuasa terhad, maka institusi diraja dipandang rendah. Raja-Raja Melayu tetap mempunyai kedudukan yang sangat penting dalam negara dan dihormati rakyat.

“Malah ada juga pihak yang menerima darjah kebesaran dan pengiktirafan daripada institusi diraja, tetapi pada masa sama mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan persepsi tidak menghormati Raja-Raja Melayu,” katanya.

Beliau berkata, kenyataan seperti itu tidak boleh dijadikan perkara biasa atau dinormalisasikan kerana ia boleh memberi kesan terhadap keharmonian masyarakat.

“Kita hidup dalam negara berbilang kaum dan agama. Sebab itu semua pihak perlu menjaga adab dan sensitiviti apabila bercakap mengenai Raja-Raja Melayu.

“Jangan jadikan kenyataan seperti ini sebagai normalisasi dalam politik negara kerana rakyat masih meletakkan penghormatan tinggi kepada Institusi Diraja,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast