Presiden MCW, Jais Abdul Karim

KUALA LUMPUR – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menyifatkan Mahkamah Khas Rasuah dalam kes melibatkan bekas Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) semalam sebagai satu mesej jelas bahawa tiada sesiapa berada di atas undang-undang.

Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, undang-undang itu jelas terpakai walaupun terhadap mereka yang memegang jawatan tinggi dalam kerajaan atau pentadbiran awam.

Menurutnya, MCW turut melihat kes itu sebagai antara simbol terbesar bagaimana pengkhianatan terhadap amanah rakyat boleh membawa kerosakan besar kepada institusi dan pembangunan negeri.

“Rakyat Malaysia masih mengingati serbuan besar-besaran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2016 yang menemukan wang tunai puluhan juta ringgit disimpan di pejabat, rumah dan kenderaan, selain rampasan pelbagai aset mewah yang dianggarkan melebihi RM114 juta.

“Kes ini bukan sekadar melibatkan angka, tetapi menyentuh soal penderitaan rakyat Sabah yang sepatutnya menikmati kemudahan asas bekalan air secara lebih sempurna,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam masa sama, tambah beliau, MCW merakamkan penghargaan kepada SPRM, pihak pendakwaan serta semua pegawai penguat kuasa yang konsisten meneruskan siasatan dan pendakwaan walaupun mengambil masa hampir sedekad.

Ujarnya, MCW menegaskan bahawa pencegahan rasuah tidak boleh bergantung kepada tindakan penguatkuasaan semata-mata.

Katanya, reformasi tadbir urus, pemantauan projek awam, pengisytiharan aset serta budaya integriti dalam perkhidmatan awam mesti diperkukuhkan secara menyeluruh.

“Amanah bukan keistimewaan untuk memperkayakan diri. Amanah adalah tanggungjawab kepada rakyat dan negara.

“Cepat atau lambat, setiap pengkhianatan terhadap amanah akhirnya akan dipersoalkan di mahkamah dunia dan akhirat,” katanya.

Semalam, bekas pengarah JANS, Ag Mohd Tahir Mohd Talib, 63, didapati bersalah berhubung kes pengubahan wang haram terbesar di Sabah yang dikaitkan dengan jabatan itu pada 2016.

Hakim Mahkamah Sesyen, Abu Bakar Manat membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap Ag Mohd Tahir.

Dalam keputusannya, Ag Mohd Tahir dikenakan hukuman penjara keseluruhan selama 96 tahun atas 12 pertuduhan pengubahan wang haram yang dihadapinya.

Beliau turut dikenakan denda keseluruhan RM284.3 juta dan sekiranya gagal membayarnya, boleh dipenjara selama 78 bulan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast