KUALA LUMPUR – Menteri Besar Selangor menggesa semua pihak termasuk pembangkang supaya menghentikan amalan selective loyalty yang hanya mempertahankan institusi raja, agama dan bangsa apabila menguntungkan kedudukan politik mereka sebaliknya membisu apabila institusi diraja dihina demi kepentingan politik sempit.
Menurutnya, titah Sultan Selangor menekankan kepentingan perpaduan umat, keharmonian masyarakat berbilang kaum serta tanggungjawab seluruh rakyat dalam memelihara keamanan, kesejahteraan dan kestabilan Negeri Selangor serta Malaysia.
“Titah Tuanku hadir pada waktu yang amat penting ketika wujud kecenderungan segelintir pihak untuk meniup api perkauman, memperalatkan sentimen agama dan institusi diraja demi kepentingan politik sempit.
“Watak seperti ini juga membisu hanya kerana politik apabila terdapat pihak luar yang menghina dan mencela kewibawaan Institusi Diraja Selangor,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan ketika menjunjung kasih titah dan nasihat yang dizahirkan penuh hikmah oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sempena sambutan Hari Raya Aidiladha 2026.
Amirudin berkata, Malaysia dibina bukan atas kebencian kaum atau ketakutan agama, sebaliknya berteraskan semangat muafakat, persefahaman pelbagai kaum serta keluhuran undang-undang yang menjadi asas pembinaan negara.
Beliau turut menyeru rakyat menghayati Rukun Negara secara menyeluruh termasuk memahami latar belakang serta mukadimahnya yang mengandungi cita-cita besar para pengasas negara untuk membentuk masyarakat bersatu padu, demokratik, adil dan progresif.
“Rukun Negara bukan sekadar lafaz dalam majlis rasmi, tetapi falsafah kebangsaan yang perlu dihayati dalam kehidupan bernegara,” katanya.
Dalam pada itu beliau berkata, semua pihak juga perlu meneliti Perlembagaan Persekutuan secara jujur dan bertanggungjawab serta membaca Pengisytiharan Kemerdekaan oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj supaya sejarah negara tidak diputar belit mengikut kepentingan politik tertentu.
Menurut beliau, Perkara 4 Perlembagaan Persekutuan dengan jelas memperuntukkan bahawa Perlembagaan adalah undang-undang tertinggi negara selain Malaysia diasaskan sebagai sebuah negara Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan.
“Sebarang cubaan mengherotkan sejarah negara, menanam kebencian antara kaum ataupun mempersoalkan kerangka Perlembagaan demi keuntungan politik adalah tindakan tidak bertanggungjawab dan berbahaya kepada masa depan negara,” katanya.
Tambah beliau, Kerajaan Negeri Selangor akan terus berpegang kepada semangat perpaduan, kesederhanaan dan penghormatan terhadap institusi Raja Berperlembagaan serta kedaulatan undang-undang sebagaimana digariskan para pengasas negara.
“Semoga Aidiladha tahun ini mengingatkan kita bahawa pengorbanan terbesar dalam sebuah negara majmuk ialah keberanian untuk menolak kebencian.
“Perpaduan rakyat bukan perkara yang boleh diambil mudah, sebaliknya mesti dipertahankan dan diperjuangkan demi masa depan bersama,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















