SHAH ALAM – Polis mengesahkan tiada sebarang unsur jenayah dikesan setakat ini berhubung kematian seorang pegawai kanan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor yang dipercayai terjatuh dari tingkat lapan sebuah apartmen di Vista Alam, Seksyen 14 di sini pada Rabu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, siasatan awal mendapati insiden tersebut dipercayai berlaku akibat kemalangan dan bukan melibatkan sebarang perbuatan jenayah.
“Berkaitan dengan insiden semalam, setakat ini kita mempercayai ia adalah bersifat kemalangan. Tidak ada unsur-unsur yang bersifat jenayah,” katanya pada sidang media di IPK Selangor di sini hari ini.
Menurut beliau, siasatan kes itu bagaimanapun masih diteruskan dan diklasifikasikan di bawah Sudden Death Report (SDR).
“Proses bedah siasat telah selesai semalam dan jenazah telah selamat dikebumikan malam tadi di kampung halaman beliau di Kuantan, Pahang,” katanya.
Mengulas mengenai pelbagai spekulasi yang tular di media sosial berhubung kejadian itu, Shazeli berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan tindakan undang-undang boleh diambil sekiranya wujud unsur fitnah terhadap arwah atau keluarganya.
“Saya tidak boleh memberi ulasan tentang komen-komen tersebut sebab saya tidak memberi sebarang kenyataan untuk membolehkan komen-komen tersebut dikeluarkan.
“Komen yang saya keluarkan adalah berkaitan dengan kenyataan media sahaja. Sekiranya spekulasi itu tidak benar dan berbau fitnah, laporan polis boleh dibuat dan siasatan akan dijalankan,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan seorang pegawai kanan polis lelaki dari JSJ IPK Selangor maut selepas dipercayai terjatuh dari sebuah apartmen di Vista Alam, Shah Alam pada Rabu. – MalaysiaGazette
















