Foto: Rapid KL

KUALA LUMPUR – Waktu operasi perkhidmatan tren di Stesen Bukit Jalil akan dilanjutkan sehingga jam 12.30 tengah malam pada Sabtu ini sempena perlawanan akhir Piala Malaysia yang akan berlangsung di TM Stadium Nasional Bukit Jalil.

Rapid KL memaklumkan, waktu operasi tren bagi dua laluan iaitu Laluan Ampang/Sri Petaling dan Laluan Putrajaya akan turut dilanjutkan bagi menampung pergerakan penumpang selepas tamat perlawanan.

Katanya, untuk menukar dari Laluan Ampang/Sri Petaling ke Laluan Putrajaya, hanya Stesen Sungai Besi akan dibuka.

“Stesen-stesen lain di Laluan Ampang/Sri Petaling dan Laluan Putrajaya akan ditutup seperti biasa, namun penumpang masih boleh keluar di mana-mana stesen di laluan-laluan tersebut untuk meneruskan perjalanan pulang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, para penonton yang hadir ke perlawanan dinasihatkan untuk merancang perjalanan lebih awal dan digalakkan menggunakan kemudahan parkir di Park N’ Ride yang disediakan di stesen-stesen sepanjang Laluan Ampang/Sri Petaling dan Laluan Putrajaya.

Katanya, bagi melancarkan perjalanan, penyokong disaran menggunakan kad Touch ‘n Go atau kaedah pembayaran tanpa tunai, manakala pengguna token digalakkan membuat pembelian awal bagi perjalanan pergi dan balik.

“Rapid KL akan menempatkan kakitangan tambahan di lokasi-lokasi strategik bagi membantu penumpang sepanjang tempoh lanjutan operasi tersebut,” tambahnya.

Untuk maklumat lanjut mengenai jadual perkhidmatan Rapid KL serta kemudahan Park N’ Ride di stesen, penumpang boleh melayari www.myrapid.com.my. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast