Premis berkenaan dikatakan beroperasi sejak setahun lalu tanpa lesen sah.

SIK – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan kegiatan pemprosesan kayu balak tanpa kelulusan dengan rampasan bernilai RM4.3 juta menerusi satu operasi bersepadu di Jeniang di sini, pada Selasa lalu.

Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) bermula kira-kira jam 10 pagi itu dilakukan oleh Cawangan Risik Batalion 18 Pasukan Gerakan Am (PGA) dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Negeri Kedah, Majlis Perbandaran Sik, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Kedah serta Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sik.

Komander Briged Utara PGA Ulu Kinta, Senior Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, operasi itu dilaksanakan hasil risikan terhadap sebuah premis yang disyaki menjalankan aktiviti pemprosesan kayu balak tanpa kelulusan.

Menurutnya, seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 50 tahun yang dipercayai pemilik premis berkenaan turut ditahan bagi membantu siasatan.

“Hasil pemeriksaan mendapati premis tersebut menjalankan aktiviti memproses kayu balak tanpa kelulusan daripada Jabatan Perhutanan Negeri Kedah sejak setahun lalu.

Kayu siap diproses dihantar ke Pulau Pinang.

“Pasukan serbuan turut menemui pelbagai jentera dan mesin yang digunakan untuk memproses kayu balak selain longgokan kayu balak pelbagai saiz yang belum dan siap diproses.

“Kayu yang siap diproses dipercayai dihantar ke sekitar Pulau Pinang untuk penghasilan produk seterusnya, katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah beliau, jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM4.34 juta.

“Kes diserahkan kepada Jabatan Perhutanan Negeri Kedah dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 3(2) Enakmen Industri Berasaskan Kayu 1985 (Negeri Kedah) serta boleh dihukum di bawah Seksyen 27 enakmen sama.

“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi satu tahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan pihaknya akan terus mempergiat usaha risikan dan penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti pemprosesan serta penyimpanan kayu balak tanpa kelulusan kerana boleh memberi kesan serius terhadap alam sekitar.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan berkenaan diminta menyalurkan maklumat kepada Ibu Pejabat Briged Utara PGA bagi tindakan lanjut,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast