KUALA LUMPUR – Kehadiran enam Ahli Parlimen PKR ke majlis peluncuran Parti Bersama baru-baru ini disifatkan sebagai tindakan yang menimbulkan persoalan terhadap kesetiaan mereka kepada parti.
Timbalan Setiausaha I Wanita Keadilan, Rozy Razit berkata, tindakan berkenaan tidak boleh lagi dianggap sekadar memenuhi jemputan biasa kerana rakyat dan akar umbi parti mampu menilai hala tuju politik seseorang pemimpin.
Menurutnya, kehadiran mereka ke majlis itu lebih mengecewakan apabila ia berlangsung serentak dengan Konvensyen Pakatan Harapan 2026 yang menjadi platform penting untuk memperkukuh solidariti parti dan gabungan.
“Ketika ramai pimpinan lain memilih untuk bersama parti dan memperkukuh perjuangan gabungan, enam Ahli Parlimen ini pula memilih untuk berada pada majlis peluncuran sebuah parti baharu.
“Ini bukan lagi soal persepsi, tetapi soal pendirian dan kesetiaan politik,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Rozy yang juga Ahli Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Johor berkata, pemimpin parti tidak seharusnya bercakap mengenai perjuangan reformasi jika dalam masa sama memberi ruang kepada gerakan politik yang boleh melemahkan parti sendiri.
Katanya, akar umbi tetap mempertahankan perjuangan parti ketika berdepan pelbagai cabaran walaupun tanpa jawatan atau habuan, justeru sikap segelintir pemimpin yang didakwa mengelirukan ahli dan rakyat tidak wajar berlaku.
“Jika benar sudah tidak sehaluan dengan perjuangan parti, maka berlaku jujurlah. Keluar secara terhormat dan jangan terus menjadi duri dalam daging,” katanya.
Beliau turut menggesa parti mengambil pendekatan lebih tegas dalam soal disiplin dan kesetiaan supaya budaya “main dua kolam” tidak menjadi kebiasaan dalam parti.
“Mandat rakyat bukan alat untuk eksperimen politik peribadi. Kesetiaan bukan sesuatu yang boleh dimainkan ikut keadaan,” katanya. – MalaysiaGazette
















