Tony Pua

KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua selesai memberi keterangan kepada polis selama kira-kira 40 minit hari ini susulan kontroversi hantaran berkaitan Rukun Negara yang mencetuskan gelombang laporan polis di seluruh negara.

Tony Pua berkata, beliau menerima panggilan daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam kira-kira pukul 1.30 tengah hari bagi mengatur rakaman percakapan di bawah Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah.

Menurutnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia selepas pihak polis menerima lebih 80 laporan terhadap kenyataannya itu.

“Saya menawarkan diri untuk hadir ke IPD Shah Alam esok pagi, namun pegawai penyiasat memaklumkan beliau menerima arahan supaya rakaman percakapan diambil hari ini juga.

“Jadi janji temu dibuat di Petaling Jaya pada pukul 4 petang hari ini. Saya memberikan kerjasama penuh kepada dua pegawai IPD Shah Alam yang sangat profesional. Proses itu mengambil masa kira-kira 40 minit,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Tony Pua turut mendedahkan bahawa laporan pertama terhadapnya dibuat di Sri Muda, Shah Alam sebelum puluhan lagi laporan hampir serupa diterima dari seluruh negara.

Katanya, semasa rakaman percakapan diambil, beliau mengesahkan bahawa hantaran Facebook berkenaan ditulis sendiri tanpa dipengaruhi mana-mana pihak.

“Sebagai sebahagian daripada rakaman percakapan, saya mengesahkan bahawa saya sendiri menulis hantaran Facebook tersebut tanpa sebarang paksaan daripada mana-mana pihak lain.

“Apabila ditanya mengenai tujuan hantaran itu dibuat, saya menjawab bahawa ia adalah untuk berkongsi pandangan saya mengenai Rukun Negara. Apabila ditanya maksud hantaran tersebut, saya menjawab ia seperti mana yang telah ditulis,” katanya.

Dalam pada itu, Tony Pua berkata, beliau masih belum dimaklumkan sama ada tindakan lanjut akan diambil terhadapnya susulan siasatan berkenaan.

“Saya juga tidak tahu siapa lagi yang mungkin dipanggil memberi keterangan kerana saya tidak bertanya mengenainya,” katanya.

Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar mengesahkan polis membuka kertas siasatan terhadap Tony Pua susulan hantaran di akaun Facebook miliknya yang didakwa menyentuh isu sensitif berkaitan institusi Raja Berperlembagaan dan Rukun Negara.

Selasa lalu, Pengerusi Jawatankuasa Disiplin DAP itu dilaporkan mengeluarkan kenyataan bahawa Malaysia mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan dan kuasa seseorang raja secara amnya terhad kepada aspek tertentu sahaja.

Kenyataan tersebut dibuat tidak lama selepas titah Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menyarankan Ahli Dewan Negeri Seri Kembangan, Wong Siew Ki dan bekas Exco Selangor, Ronnie Liu hadir ke Dataran Selangor setiap minggu bagi memahami serta menghayati makna sebenar Rukun Negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast