KUALA LUMPUR – Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) menjangkakan jumlah purata trafik harian di lebuh raya utama dan laluan sambungan akan mencecah sehingga 3.3 juta kenderaan pada hari puncak sempena sambutan Hari Raya Aidiladha yang bakal diraikan pada 27 Mei ini.
Peningkatan trafik itu dijangka berlaku secara berperingkat bermula 22 Mei hingga 7 Jun 2026 susulan pertindihan musim perayaan dengan cuti umum serta cuti persekolahan yang panjang.
Ketua Pengarah LLM, Ir. Mohd Hadzmir Yusoff berkata, antara lebuh raya utama yang dijangka menerima jumlah trafik tertinggi ialah lebuh raya di bawah Kumpulan PLUS dengan anggaran sebanyak 2.2 juta kenderaan sehari.
Selain itu, Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dijangka merekodkan sebanyak 209,000 kenderaan diikuti Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) sebanyak 106,000 kenderaan dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) sebanyak 50,000 kenderaan.
“Bagi Lebuh Raya Persisiran Pantai Barat (WCE) pula, jumlah trafik dianggarkan mencecah 151,000 kenderaan sepanjang tempoh tersebut.
“Sementara itu, bagi lebuh raya sambungan ke lebuh raya utama, Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) dijangka menerima 283,000 kenderaan sehari, diikuti Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR) sebanyak 125,000 kenderaan dan Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) sebanyak 137,000 kenderaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, bagi memastikan perjalanan pengguna lebih selamat dan lancar sepanjang musim perayaan, LLM mengarahkan semua syarikat konsesi lebuh raya melaksanakan beberapa langkah proaktif.
Antara langkah tersebut termasuk tiada penutupan lorong kecuali bagi kerja kecemasan bermula 23 Mei hingga 2 Jun selain pengaktifan 34 lokasi Smart Lane termasuk di lebuh raya Kumpulan PLUS.
“LLM turut memastikan sistem kutipan tol berada pada tahap optimum termasuk pelaksanaan kutipan berlapis di plaza tol kritikal selain pemeriksaan operasi lebuh raya dan kemudahan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) serta Hentian Sebelah,” ujarnya.
Mohd Hadzmir menambah, sebanyak 65 tandas mudah alih turut disediakan selain bekalan air mencukupi serta penambahan parkir dan petugas termasuk anggota RELA di kawasan R&R.
Dalam pada itu, pengguna lebuh raya dinasihatkan supaya merancang perjalanan menggunakan aplikasi TuJu dan Travel Time Advisory (TTA) selain memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan.
Pengguna juga kata Mohd Hadzmir diminta memastikan baki kad Touch ‘n Go, e-wallet dan kad debit mencukupi serta mematuhi arahan ketika pengaktifan Smart Lane.
Bagi penunggang motosikal pula, mereka diingatkan supaya lebih berhati-hati dan menggunakan 571 lokasi motorcycle shelter yang disediakan sekiranya berlaku cuaca buruk.
Maklumat trafik semasa dan insiden di lebuh raya boleh diperoleh menerusi media sosial rasmi LLM di Facebook Lembaga Lebuhraya Malaysia dan TikTok @llmtrafik atau menghubungi Pusat Pengurusan Trafik LLM di talian 1-800-88-7752.
Selain itu, paparan trafik secara langsung melalui CCTV di semua lebuh raya boleh diakses menerusi aplikasi TuJu manakala sebarang aduan boleh disalurkan melalui aplikasi MYJalan. – MalaysiaGazette
















