SHAH ALAM – Bot itu ditenggelamkan, dipercayai disabotaj sebelum saya sempat naik ataupun sebelum mereka mendarat untuk delegasi yang akan bersama saya naik.
Itu kata Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shari yang menceritakan mengenai detik cemas di mana bot yang sepatutnya dinaikinya menjadi sasaran sabotaj rejim Zionis dalam fasa akhir misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0.
Amirudin yang diberi mandat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengetuai delegasi berkenaan berkata, pihak berkenaan dipercayai berjaya mengesan pergerakan serta bot yang dijadualkan bakal dinaiki beliau.
“Tindakan rejim berkenaan langsung tidak akan mematahkan semangat delegasi Malaysia untuk terus melaungkan solidariti demi kebebasan bumi Gaza.
“Sebenarnya saya sepatutnya mengikuti dalam perjalanan terakhir itu tetapi mereka (Israel) dapat mengesan bot yang saya akan gunakan.
“Insya-Allah, kita tidak akan berhenti di sini. Kita akan memastikan mesej break the silence ini sampai. Kita nak pecahkan rasa diam dan tidak bersuara dalam isu penindasan terhadap rakyat di Gaza,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Peluncuran Program Tuisyen Rakyat Selangor & Program Didik Kasih di sini hari ini.
Mengulas mengenai tindakan kejam rejim yang menahan serta melakukan kekerasan fizikal terhadap 29 rakyat Malaysia dalam misi berkenaan, Amirudin tanpa berselindung menyifatkan ia sebagai satu tindakan ‘penculikan yang terdesak’.
“Tindakan agresif itu mencerminkan ketakutan rejim Zionis melihat sokongan komuniti antarabangsa yang semakin mencurah-curah.
“Bersyukur kepada Allah kerana mereka dibebaskan walaupun kali ini mereka mendapat penderaan dan tekanan fizikal daripada rejim.
“Mereka ditahan di perairan antarabangsa. Saya anggap ia satu penculikan yang dibuat oleh rejim dalam keadaan terdesak kerana semakin hari semakin ramai peserta misi kemanusiaan yang datang.
“Kali ini sabotaj mereka dilakukan dua kali, satu di perairan Greece dan satu lagi di perairan berdekatan Turkiye,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Amirudin memaklumkan kesemua 29 aktivis Malaysia itu dijangka tiba di tanah air pada hujung minggu ini.
“Insya-Allah, saya akan menyambut kepulangan mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA),” ujarnya.
Berkenaan 30 kontena barangan yang dibawa, Amirudin berkata, kerajaan sedang menunggu laporan akhir bagi memastikan kesemua barangan bantuan selamat tiba ke destinasi.
“Apabila barangan itu sampai, saya akan maklumkan atau mungkin saya sendiri akan ke sana untuk melihat proses penyampaian bantuan tersebut,” katanya.
Semalam, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan mengesahkan kesemua 29 rakyat Malaysia yang ditahan pihak berkuasa Israel di perairan antarabangsa telah selamat tiba di Istanbul, Turkiye pukul 5.45 petang waktu tempatan.
Bagaimanapun, enam daripadanya termasuk lima lelaki dilaporkan mengalami kecederaan akibat dikasari dan kini memerlukan pemeriksaan kesihatan lanjut. – MalaysiaGazette
















