Sumud Nusantara Official

KUALA LUMPUR — Kementerian Luar mengesahkan kesemua 29 rakyat Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) telah dibebaskan semalam selepas melalui beberapa proses rundingan dan bantuan diplomatik.

Menurut kementerian itu, kesemua mereka kini berada dalam keadaan selamat di Istanbul untuk menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum dijadualkan pulang ke Malaysia pada Ahad ini.

“Kesemua rakyat Malaysia berada dalam keadaan selamat dan kini berada di Istanbul, Türkiye bagi menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum dijadualkan pulang ke Malaysia dengan ketibaan dijangka pada 24 Mei 2026 (Ahad),” menurut kenyataan itu hari ini.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan mengesahkan semua 29 rakyat Malaysia yang ditahan Israel di perairan antarabangsa ketika menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0, selamat tiba di Istanbul, Turkiye jam 5.45 petang waktu tempatan semalam.

Dalam kenyataan sama, Wisma Putra menegaskan kerajaan Malaysia turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan Türkiye atas bantuan dan kerjasama yang diberikan sepanjang proses pembebasan serta pengurusan kepulangan rakyat Malaysia terbabit.

“Kerajaan Malaysia turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Türkiye atas segala bantuan dan sokongan yang diberikan sepanjang proses pembebasan serta kepulangan mereka dengan selamat,” menurut kenyataan itu.

Kementerian turut memuji komitmen ditunjukkan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dan pasukan Sumud Nusantara dalam menjayakan misi kemanusiaan tersebut meskipun berdepan pelbagai cabaran.

Menurut kementerian itu, walaupun flotila berkenaan dihalang daripada memasuki Semanjung Gaza, misi tersebut berjaya meningkatkan tekanan dan kecaman antarabangsa terhadap sekatan yang dikenakan rejim Zionis Israel ke atas wilayah Palestin itu.

“Malaysia kekal komited untuk meneruskan usaha diplomatik bersama rakan antarabangsa dalam menjunjung prinsip kemanusiaan serta memperkukuh solidariti global ke arah penubuhan sebuah negara Palestin yang berdaulat dan merdeka,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast