MAKKAH – Pelancaran Inisiatif Haji Lestari (Green Hajj) oleh Lembaga Tabung Haji (TH) selaras dengan aspirasi Wawasan Arab Saudi 2030 yang menekankan pengukuhan amalan ekonomi kitaran, aktiviti berkecuali karbon serta pengurangan sisa sepanjang musim haji.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, inisiatif itu juga bertepatan dengan tuntutan maqasid syariah dalam usaha memelihara dan memulihara alam sekitar, di samping meningkatkan kesedaran jemaah mengenai tanggungjawab bersama ke arah pelaksanaan ibadah haji yang lebih bersih, hijau dan lestari.
Menurut beliau, salah satu program utama di bawah inisiatif yang sama ialah pengurusan kain ihram terpakai dengan mengitar semulanya.
“Melalui pelaksanaan ini, jemaah haji lelaki digalakkan untuk menyumbang kain ihram terpakai secara sukarela selepas selesai menggunakannya,” katanya semasa berucap sempena pelancaran inisiatif itu di sini hari ini.
Laman sesawang Green Hajj memaklumkan Arab Saudi telah memperkenalkan inisiatif itu untuk mengurangkan ratusan ribu tan sisa yang dihasilkan semasa ibadah haji secara drastik.
Menurutnya, semasa musim puncak ibadah haji, jumlah sisa yang dihasilkan antara 40,000 hingga 166,000 tan semasa musim haji sahaja dan sebahagian besar sisa pepejal terdiri daripada sisa makanan, botol plastik guna sekali, sisa makanan, dan sejumlah besar pakaian dan selimut yang dibuang.
Malah, kajian menunjukkan sehingga 100,000 tan ihram yang dibuang dijangka memenuhi tapak pelupusan sampah menjelang 2030.
Untuk mengatasi ini, Suruhanjaya Fesyen Arab Saudi bekerjasama dengan entiti kitar semula mengumpul, memproses dan mengitar semula ihram lama menjadi pakaian baharu.
Zulkifli berkata, bagi memudahkan pelaksanaannya, pusat pengumpulan kain ihram terpakai akan disediakan di bangunan penginapan jemaah haji di Makkah dan kawasan perkhemahan di Mina.
Tong pengasingan sisa disediakan mengikut kategori seperti kertas, plastik dan sisa umum bagi membudayakan amalan pengasingan sisa dalam kalangan jemaah haji.
Jelas beliau, inisiatif ini merupakan contoh praktikal bagaimana jemaah haji boleh menyumbang secara langsung kepada usaha kelestarian melalui amalan yang mudah, tetapi memberi impak yang bermakna.
“Saya percaya usaha Tabung Haji ini mampu mentransformasikan ihram terpakai kepada impak yang lebih bermakna. Melalui sokongan dan penyertaan jemaah haji, program ini diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada pembentukan budaya haji yang lebih lestari, bersih, hijau dan bertanggungjawab dan ke arah amalan budaya sifar sisa,” katanya. – MalaysiaGazette
















