KUALA LUMPUR — Hubungan erat antara Malaysia dan Indonesia amat penting dalam memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan selain menjaga kebajikan pekerja di kedua-dua negara.
Menteri Sumber Manusia (KESUMA), Datuk Seri R. Ramanan berkata, perkara itu dibincangkan dalam kunjungan hormat Menteri Pelindungan Pekerja Migran Indonesia, Mukhtarudin bersama delegasinya ke pejabat beliau.
Ramanan berkata, pertemuan tersebut turut memberi fokus kepada usaha memperkukuh kerjasama strategik dalam aspek tenaga kerja dan kesejahteraan pekerja antara kedua-dua negara serantau itu.
“Pertemuan membincangkan mengenai pelbagai perkara berkaitan kerjasama antara Malaysia dan Indonesia, khususnya dalam aspek pengurusan, perlindungan serta pembangunan tenaga kerja yang melibatkan rakyat Indonesia di negara ini,” katanya.
Menurut beliau, Malaysia dan Indonesia mempunyai hubungan dua hala yang sudah lama terjalin selain terus berkembang dalam pelbagai sektor strategik termasuk perdagangan, pelaburan, keselamatan dan tenaga kerja.
“Malaysia dan Indonesia merupakan negara jiran serta rakan strategik di peringkat serantau dan antarabangsa.
“Hubungan dua hala yang sekian lama terjalin mencerminkan kerjasama menyeluruh yang kukuh merangkumi pelbagai bidang termasuk perdagangan, pelaburan, keselamatan, tenaga kerja serta hubungan antara rakyat kedua-dua negara,” ujarnya.
Ramanan berkata, kerjasama erat kedua-dua negara bukan sahaja penting dalam memperkukuh ekonomi serantau malah memastikan kebajikan pekerja migran terus diberi perhatian.
Beliau turut berharap hubungan erat antara Malaysia dan Indonesia dapat terus diperkukuhkan demi manfaat bersama serta kesejahteraan rakyat kedua-dua negara. – MalaysiaGazette
















