PARIS – Menteri Luar Perancis, Jean-Noel Barrot pada Sabtu mengumumkan bahawa Menteri Keselamatan Negara Israel, Itamar Ben-Gvir dilarang memasuki Perancis berkuat kuasa serta-merta, lapor Xinhua.
Dalam hantaran di platform media sosial X, Barrot berkata keputusan itu dibuat susulan tindakan Ben-Gvir yang disifatkannya sebagai “tidak dapat diterima sama sekali” terhadap rakyat Perancis dan Eropah di atas flotila Global Sumud yang menuju ke Gaza.
“Kami tidak boleh bertolak ansur terhadap warga Perancis yang diugut, diintimidasi atau dikenakan keganasan sedemikian, lebih-lebih lagi oleh seorang pegawai awam,” kata Barrot.
Beliau turut menggesa European Union (EU) mengenakan sekatan terhadap Ben-Gvir.
Ratusan anggota flotila bantuan yang menuju ke Gaza dibawa ke Pelabuhan Ashdod di Israel pada Rabu, selepas Ben-Gvir mengeluarkan video yang menunjukkan sebahagian daripada mereka digari dan dipaksa meniarap di atas lantai.
Dalam video yang dimuat naik Ben-Gvir di saluran media sosialnya, puluhan aktivis dilihat melutut di lantai, membongkok dengan kepala tertunduk dan tangan diikat ke belakang menggunakan pengikat kabel, manakala lagu kebangsaan Israel dimainkan dengan kuat melalui pembesar suara.
Penganjur Flotila Global Sumud berkata kapal tentera laut Israel telah memintas semua kapal dalam konvoi itu di perairan antarabangsa, kira-kira 250 batu nautika dari pantai Gaza.
Menurut penganjur, seramai 428 aktivis telah “diculik” oleh Israel selepas operasi pemintasan bermula pada pagi Isnin.
Pada Rabu, Barrot mengecam layanan terhadap aktivis flotila Global Sumud dan menyifatkan tindakan pihak Israel sebagai “tidak boleh diterima”, selain mengumumkan bahawa duta Israel ke Perancis akan dipanggil.
— BERNAMA-XINHUA
















