Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengambil alih sepenuhnya siasatan berhubung dakwaan kes cabul membabitkan seorang murid perempuan di sebuah sekolah di Johor yang tular di media sosial.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, individu terbabit sudah ditahan pihak berkuasa manakala Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengambil langkah melindungi kanak-kanak berkenaan.

“PDRM telah mengambil alih kes ini sepenuhnya. Individu tersebut telah ditahan oleh pihak berkuasa. JKM telah melindungi anak ini. KPM akan teruskan siasatan dalaman.

“Siasatan diserahkan kepada PDRM. Guru direhatkan serta merta,” katanya dalam kenyataan dalam laman Facebook.

Menurut laporan media, polis menahan seorang guru lelaki berusia 28 tahun kerana disyaki mencabul seorang murid sekolah rendah berusia 12 tahun di Masai, Johor Bahru.

Sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam menahan suspek terbabit pukul 10.30 malam selepas ibu mangsa yang berusia 37 tahun membuat laporan polis pukul 9 malam.

Dalam pada itu, Fadhlina turut menyeru masyarakat supaya tampil membuat laporan kepada pihak berkuasa sekiranya mempunyai maklumat berkaitan dakwaan kesalahan seksual.

Beliau berkata, tindakan segera perlu diambil bagi menyiasat sebarang aduan khususnya apabila melibatkan mangsa kanak-kanak.

“Ambil tanggungjawab bersama sebagai ahli masyarakat untuk terus mengingatkan tanggungjawab semua pihak untuk terus melindungi kanak-kanak,” katanya.

Terdahulu, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor memaklumkan beberapa laporan polis dibuat berhubung dakwaan itu termasuk daripada pihak sekolah, sebelum guru terbabit direman bagi membantu siasatan.

JPN Johor turut menegaskan tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku seksual di semua institusi pendidikan bawah kelolaannya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast