KUALA LUMPUR – Datuk Seri Rafizi Ramli mendakwa beliau dan bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nik Nazmi Nik Ahmad ditekan secara berterusan oleh jentera parti selama setahun sehingga membawa kepada keputusan mereka meninggalkan parti itu.
Bekas Timbalan Presiden PKR itu mendakwa, pelbagai tekanan dan serangan diterima sepanjang tempoh tersebut termasuk caci maki mendesak beliau meninggalkan parti.
“Setahun penuh mereka gunakan jentera parti untuk mendesak saya dan Nik (Nazmi) keluar. Dalam kes saya, sampai anak saya turut diserang.
“Perkara seperti ini tak pernah berlaku dalam sejarah politik Malaysia. Perbezaan politik sampai budak pun jadi sasaran,” dakwanya menerusi hantaran dalam laman Facebook hari ini.
Bekas Menteri Ekonomi itu turut mendakwa, Presiden PKR yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak memecat mereka secara langsung kerana bimbang membuka ruang kepada gerakan tebuk atap.
“Jadi biar orang bawahan buat kerja `kotor’. Bila kami akhirnya keluar, tiba-tiba cerita bertukar. Kami pula dituduh pengkhianat.
“Tapi yang paling bermakna bagi saya bukan serangan itu. Yang penting, rakyat akhirnya dapat susun sendiri semua kepingan cerita,” ujarnya.
Rafizi turut menyifatkan tuduhan pengkhianat yang dilemparkan terhadapnya dan Nik Nazmi selepas keluar parti sebagai tidak berasas.
Malah katanya, layanan diterima sepanjang berada dalam PKR sebelum ini akhirnya membantu rakyat memahami sebab sebenar mereka mengambil keputusan tersebut.
“Setahun layanan PKR terhadap kami sebenarnya melengkapkan ‘puzzle’ untuk rakyat faham kenapa kami buat apa yang kami buat.
“Saya dan Nik masuk politik pada umur 19 dan 21 tahun. Kami bukan ahli politik yang dirancang sejak awal. Dan kalau nak fikir perjuangan ini hanya tentang Anwar, memang rugi.
“Ia tak pernah tentang Anwar Ibrahim. Ia tentang orang biasa yang kami kenal sepanjang 25 tahun ini. Orang tanya, “Apa perasaan sekarang?”. Tak rasa apa-apa. Macam hari biasa,” ujarnya. – MalaysiaGazette















