MIRI – Seorang wanita maut dalam kemalangan jalan raya di Kampung Hangus, Bekenu Sarawak semalam.
Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kemalangan pukul 1.20 pagi yang melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Axia dipandu seorang wanita tempatan berusia 22 tahun.
Menurut beliau, siasatan awal di lokasi kejadian mendapati mangsa yang datang dari arah Pekan Bekenu menuju ke Kampung Hangus Bekenu dipercayai hilang kawalan sehingga menyebabkan kenderaan dipandunya terbabas ke bahu kiri jalan dan termasuk ke dalam longkang.

“Akibat kemalangan itu, pemandu motokar disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohd Faizal Moktar di talian 012-8186509 atau 085-430479 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Mohd Farhan turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa mengamalkan pemanduan berhemah serta mematuhi peraturan jalan raya bagi mengelak bahaya kepada pengguna jalan raya lain. – MalaysiaGazette
















