KUANTAN – Seorang pekerja kedai menjual perkakas cedera dilanggar sebuah pacuan empat roda yang terbabas dalam kejadian di Jalan Besar di sini kira-kira 11.30 pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, pacuan empat roda Toyota Hilux berkenaan sebelum itu dipercayai hilang kawalan dan merempuh sebuah kedai menjual perkakas di lokasi terbabit.
“Pacuan empat roda dipandu lelaki berusia 21 tahun datang dari arah Jalan Teluk Sisek menghala ke Bandar Kuantan. Anggota ronda Balai Polis Kuantan telah menahan lelaki tersebut kerana hasil pemeriksaan dalam kenderaan menjumpai sebotol plastik yang dipercayai dadah jenis sintetik MDMA.
“Pemandu juga disyaki memandu dalam pengaruh dadah, namun ujian saringan air adalah negatif. Dipercayai di bawah pengaruh vape ‘mushroom‘,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ashari berkata, hasil siasatan awal turut mendapati kemalangan berpunca akibat pemanduan yang tidak cermat dan tidak bertimbang rasa sehingga gagal mengawal kenderaannya dan mengakibatkan kemalangan.
Tambahnya, mangsa yang merupakan lelaki warga emas berusia 68 tahun yang terlibat telah mengalami luka di bahagian lutut kiri dan tangan kanan dan sedan dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).
Beliau berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan polis memohon saksi kejadian agar tampil membantu siasatan. – MalaysiaGazette
















