KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini menetapkan esok dan lusa bagi menyambung perbicaraan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi pertuduhan kes salah guna kedudukan dan pengubahan wang haram berkaitan suapan berjumlah RM225.3 juta.
Menurut laman sesawang kehakiman, perbicaraan selama dua hari itu dijadual didengar di hadapan Hakim Noor Ruwena Md. Nurdin.
Pada 28 April lalu, seorang pegawai bank memberitahu, kemasukan wang berjumlah RM19.5 juta ke dalam akaun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diragui kerana transaksi tersebut melibatkan jumlah yang banyak dan dilakukan secara kerap.
Norazeanti Miswan, 38, berkata, kesemua 29 transaksi itu diterima daripada sebuah syarikat pembinaan, Mamfor Sdn. Bhd. yang juga pelanggan bank melalui cek di antara 12 Mei 2021 dan 16 November 2022.
Menurut beliau yang juga Penolong Pengurus Cawangan Bank Muamalat Malaysia Berhad di Shah Alam, kemasukan wang ke dalam akaun parti itu melibatkan jumlah di antara RM500,000 dan RM2 juta daripada syarikat sama.
Ujarnya, transaksi secara terus menerus daripada pihak yang sama merupakan sesuatu yang diragui kerana pemindahan wang seperti itu tidak pernah dibuat oleh syarikat lain.
Muhyiddin, 78, yang ketika itu memegang jawatan Perdana Menteri dan Presiden Bersatu, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM225.3 juta berkaitan Projek Jana Wibawa daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Datuk Azman Yusoff bagi parti politik berkenaan.
Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.
Muhyiddin didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.
Ahli Parlimen Pagoh itu turut berdepan tiga pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM200 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke akaun Ambank dan CIMB Bank milik Bersatu di cawangan bank berkenaan di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur antara Februari 2021 dan Julai 2022.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi. – MalaysiaGazette
















