KUALA LUMPUR – Seorang kanak-kanak lelaki berumur 11 tahun yang dilaporkan lemas di sungai berhampiran Lebuh Raya Baru Lembah Klang (NKVE) dekat Menara Finas, Damansara Damai semala, ditemukan meninggal dunia pagi ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, mangsa, Paulus Amsal Jimri, ditemui di tepi sungai di Jalan Welfare Kampung Baru Sungai Buloh kira-kira pukul 10 pagi tadi.
“Operasi pencarian dijalankan menggunakan teknik surface searching (pencarian di permukaan air) menyusuri tebing sungai sejauh dua kilometer namun tiada tanda-tanda mangsa dijumpai.
“Operasi kemudian disambung pagi tadi sebelum pihak bomba menerima maklumat terdapat mayat kanak-kanak lelaki di tepi sungai berhampiran Jalan Welfare Kampung Baru Sungai Buloh,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 4.30 petang semalam.
Susulan itu anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Buloh bersama Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) BBP Shah Alam digerakkan ke lokasi.
Katanya, pasukan PPDA berjaya membawa naik mangsa pada pukul 10.47 pagi sebelum disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan pada pukul 11 pagi.
Katanya, keluarga mangsa kemudian membuat pengecaman sebelum mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
“Mangsa ditemukan kira-kira 1.9 kilometer dari lokasi dia dilaporkan jatuh ke dalam sungai,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















