KUALA LUMPUR – Penduduk di Pulau Tioman kini berdepan kebimbangan apabila kuota petrol subsidi sebanyak 1,000 liter seminggu didakwa tidak lagi mencukupi untuk menampung keperluan harian masyarakat di pulau berkenaan.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Ir. Razali berkata, pihak berkuasa harus mengecualikan kuota berkenaan memandangkan pulau berkenaan merupakan sektor pelancongan.
“Kuota tersebut sekali gus membebankan penduduk pulau jika melihat kadar penggunaan bulanan termasuk musim monsun. Berdasarkan laporan, penggunaan diesel pada musim monsun secara mingguan paling rendah pun menelan kos penggunaan sebanyak 2,700 liter manakala minggu musim puncak pula merekodkan lebih daripada 15,000 liter,” jelasnya kepada MalaysiaGazette.

Menurutnya, situasi itu mendorong Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Tioman mengemukakan permohonan rasmi kepada kerajaan bagi mempertimbangkan penambahan kuota petrol subsidi demi kelangsungan kehidupan penduduk setempat.
Jelasnya petrol subsidi bukan sekadar keperluan biasa malah menjadi nadi utama pergerakan penduduk kerana kebanyakan kampung di pulau itu bergantung kepada bot sebagai pengangkutan harian.
Malah terdapat beberapa kampung yang hanya boleh dihubungi melalui laluan laut untuk ke
Kampung Tekek yang menjadi pusat utama urusan, perkhidmatan dan penempatan terbesar di pulau tersebut.
“Keadaan itu menyebabkan penduduk amat bergantung kepada bekalan petrol subsidi untuk urusan penting termasuk mendapatkan bekalan makanan, ke sekolah, menjalankan perniagaan serta mendapatkan rawatan kesihatan,” tambahnya.
Difahamkan, peningkatan aktiviti ekonomi dan pertambahan keperluan harian menyebabkan kuota sedia ada semakin tidak mampu menampung permintaan semasa.
Sehubungan itu, katanya, PPK Tioman berharap kerajaan dapat segera mempertimbangkan penambahan kuota petrol subsidi agar kehidupan penduduk di pilau itu tidak terjejas khususnya komuniti yang bergantung sepenuhnya kepada pengangkutan bot setiap hari.
Untuk rekod, permohonan dibuat bertarikh 19 Mei 2026 lalu bersama laporan jualan petrol subsidi tahun 2025 sebagai sokongan kepada permintaan berkenaan. – MalaysiaGazette
















