BUKIT MERTAJAM – Sebanyak 23 motosikal disita polis selepas pemeriksaan dilakukan ke atas sekumpulan penunggang motosikal menerusi Op Motosikal: Samseng Jalanan di Jalan Guar Jering, Kampung Terus, Kubang Semang di sini, kelmarin.
Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah dalam kenyataan berkata, operasi yang dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik bersama anggota Balai Polis Kubang Semang itu dilaksanakan susulan aduan diterima daripada orang awam.
Menurutnya, operasi itu memfokuskan kepada kumpulan remaja yang dipercayai menjadikan lokasi berkenaan sebagai tempat berkumpul untuk melakukan aktiviti lumba haram, aksi berbahaya seperti ‘wheelie’ serta menggunakan ekzos motosikal yang diubah suai sehingga menimbulkan gangguan kepada orang awam.
“Sebanyak 60 buah motosikal telah diperiksa dan 110 keping saman atas pelbagai kesalahan trafik telah dikeluarkan.
“Selain itu, 23 buah motosikal turut disita di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” kata kenyataan itu.
Tambah kenyataan tersebut, polis memandang serius kegiatan samseng jalanan kerana bukan sahaja membahayakan keselamatan diri sendiri, malah turut mengancam pengguna jalan raya yang lain.
“Operasi dan tindakan penguatkuasaan akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan serta ketenteraman awam sentiasa terpelihara.
“Ibu bapa dan penjaga turut disaran memainkan peranan penting dalam memantau pergerakan anak-anak agar tidak terlibat dalam aktiviti tidak sihat yang boleh mengundang bahaya dan tindakan undang-undang,” katanya. – MalaysiaGazette















