GEORGE TOWN – Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Pulau Pinang mengeluarkan sebanyak 1,398 Permit Sembelihan Luar (PSL) bagi pelaksanaan ibadah korban sempena sambutan Hari Raya Aidiladha yang bakal diraikan umat Islam Rabu ini.
Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) negeri, Dr. Saira Banu Mohamed Rejab berkata, jumlah permit yang diluluskan tahun ini meningkat sebanyak 341 permit atau 32.26 peratus berbanding 1,057 PSL yang dikeluarkan pada tahun lalu.
Menurutnya, anggaran permintaan ternakan bagi tujuan ibadah korban dibuat berdasarkan permohonan Permit Sembelihan Luar (PSL) yang diterima daripada masjid, surau, badan korporat serta penganjur korban di seluruh negeri.
“Secara keseluruhan, sebanyak 6,107 ekor ternakan direkodkan terlibat dalam aktiviti korban pada tahun ini berbanding 4,220 ekor ternakan pada tahun 2025 iaitu peningkatan sebanyak 1,887 ekor atau 44.72 peratus.
“Manakala pecahan ternakan korban bagi tahun ini melibatkan 5,476 ekor lembu, kambing (542), bebiri (57), kerbau (26) dan enam ekor unta,” katanya hari ini.
Beliau berkata, permintaan tinggi khususnya melibatkan ternakan lembu menunjukkan haiwan itu masih menjadi pilihan utama masyarakat bagi pelaksanaan ibadah korban disebabkan faktor kesesuaian agihan, kapasiti penyertaan peserta korban serta faktor ekonomi semasa.
Katanya, bekalan lembu dan kerbau bagi tujuan korban di negeri ini melibatkan ternakan tempatan serta ternakan import bagi menstabilkan bekalan dan menampung peningkatan permintaan semasa musim Aidiladha.
“Pengimportan ternakan dilaksanakan khususnya apabila pengeluaran ternakan tempatan tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan semasa.
“Antara faktor yang mempengaruhi kekurangan bekalan ternakan tempatan termasuk peningkatan kos makanan ternakan, kenaikan kos operasi ladang, kekangan kawasan penternakan, pengurangan bilangan penternak aktif serta cabaran penyakit haiwan tertentu yang boleh menjejaskan kadar pengeluaran dan produktiviti ternakan,” katanya.
Tambah beliau, pelaksanaan Permit Sembelihan Luar oleh JPV penting bagi memastikan aktiviti korban dilaksanakan mengikut prosedur dan syarat ditetapkan termasuk aspek kesihatan veterinar, kebajikan haiwan, kebersihan tempat sembelihan dan keselamatan makanan.
Katanya, permit itu juga membantu memastikan ternakan yang digunakan bagi tujuan korban berada dalam keadaan sihat dan sesuai untuk disembelih.
“Pemantauan oleh pegawai veterinar dan pemeriksa daging yang dilantik turut memastikan pemeriksaan ante-mortem dan post-mortem dilaksanakan dengan sempurna supaya daging korban yang diagihkan kepada masyarakat adalah selamat untuk dimakan serta bebas daripada penyakit zoonotik dan pencemaran yang boleh menjejaskan kesihatan awam.
“JPV Pulau Pinang turut menasihatkan semua penganjur korban supaya mendapatkan Permit Sembelihan Luar daripada jabatan serta memastikan pengurusan haiwan dan sisa sembelihan dilaksanakan secara teratur, bersih dan mematuhi syarat ditetapkan bagi menjaga kesejahteraan awam dan kelestarian persekitaran,” katanya. – MalaysiaGazette
















