SEPANG – Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby memberitahu Razman Mat Ali tidak dibenarkan menaiki pesawat untuk pulang ke Malaysia kerana mengalami ‘Traumatic Pneumothorax’ atau paru-paru bocor

Menurut beliau, doktor memberi amaran bahawa tekanan udara dalam penerbangan boleh menyebabkan keadaan Razman menjadi lebih kritikal malah berisiko membawa maut.

“Beliau tidak boleh terbang kerana tekanan dalam kapal terbang boleh menyebabkan kecederaan beliau bertambah buruk dan doktor memaklumkan ia boleh menyebabkan kematian,” katanya dalam ucapan ketika menyambut kepulangan 28 delegasi Global Sumud Flotila (GSF) 2.0 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), malam tadi.

Sani Araby berkata, Razman turut berada dalam keadaan berisiko tinggi mendapat jangkitan susulan kecederaan dialami selain baru selesai menjalani pembedahan.

Menurutnya, pasukan perundangan misi turut dihantar segera ke hospital bagi mengambil rakaman dan keterangan daripada Razman untuk dijadikan bahan bukti dalam tindakan undang-undang antarabangsa terhadap Israel.

“Beliau sedang dirawat selepas pembedahan apabila dua wakil legal team dihantar untuk mengambil rakaman bukti,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan Turki turut memberi jaminan akan menjaga Razman sepanjang menerima rawatan di negara itu selain wakil Malaysia sentiasa berada bersama mangsa.

Dalam pada itu, Sani Araby menegaskan kecederaan dialami Razman bukan kes terpencil kerana semua delegasi didakwa berdepan layanan kasar dan penderaan fizikal sepanjang ditahan.

Terdahulu, Razman merupakan antara 29 rakyat Malaysia yang menyertai misi GSF 2.0 bagi menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza sebelum misi berkenaan dipintas pihak Israel. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast