KUALA LUMPUR – Seorang lelaki merupakan ketua kumpulan jenayah terancang dikenali sebagai Geng Rames yang aktif di kawasan SG Division, Sungai Petani, Kedah akhirnya berjaya ditahan polis.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, suspek ditahan dalam Op Tiga pada 22 Mei lalu hasil kerjasama pihak berkuasa India dan Thailand.
“Suspek ditahan ketika dalam penerbangan dari Bangkok, Thailand menuju Hyderabad, India sebelum dibawa pulang ke Malaysia.
“Tangkapan suspek dibuat berdasarkan waran tangkap yang dikeluarkan Mahkamah Majistret Sungai Petani pada 25 Mac selain mempunyai Notis Merah Interpol pada 24 April lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, suspek ditahan kerana disyaki menjadi ahli kumpulan jenayah terancang dan disiasat mengikut Seksyen 130V Kanun Keseksaan.
Kumar berkata, seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 20 tahun jika sabit kesalahan.
“Suspek kini direman sehingga 29 Mei ini turut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan membabitkan dua kes pembunuhan berasingan di Padang Serai dan Bedong, Kedah sekitar Februari dan Ogos 2024.
“Kami merakamkan penghargaan kepada pihak berkuasa India dan Thailand atas kerjasama erat yang diberikan dalam usaha mengesan serta menahan suspek,” jelasnya. – MalaysiaGazette
















