BUKIT MERTAJAM – Kira-kira 40 ekor lembu korban bernilai RM216,000 disumbangkan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) sempena Aidiladha tahun ini bagi manfaat 27 masjid, surau, NGO, MPKK dan JPKKP di kawasan Parlimen Bukit Mertajam.
Jumlah itu hampir dua kali ganda berbanding sasaran awal sebanyak 20 ekor lembu hasil penyertaan agensi termasuk UDA Holdings, Bank Rakyat, Amanah Ikhtiar Malaysia, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), TEKUN Nasional, ANGKASA dan Institut Koperasi Malaysia (IKMa).
Pegawai Khas kepada Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Rosly Yusof berkata, sumbangan berkenaan disalurkan melalui Pusat Khidmat Parlimen Bukit Mertajam dengan kerjasama KUSKOP bagi membantu komuniti setempat sempena sambutan Aidiladha.
“Kami amat menghargai kemurahan hati semua agensi penaja yang tampil menyokong hasrat Yang Berhormat (YB) Steven Sim Chee Keong, Menteri KUSKOP merangkap Ahli Parlimen Bukit Mertajam, dalam memastikan kebajikan komuniti di kawasan ini terus terpelihara,” katanya.
Majlis penyerahan lembu korban dan replika cek sumbangan berlangsung di Bandar Perda di sini, dengan kehadiran wakil agensi koperasi dan institusi kewangan terlibat.
Selain agihan korban, beberapa program komuniti turut diatur termasuk Majlis Kenduri Sekampung pada 31 Mei ini melibatkan lima ekor lembu korban serta jamuan raya di Tapak Uptown Bandar Perda pada 30 Mei ini.
Sementara itu, sebuah pertubuhan mualaf turut menzahirkan rasa syukur apabila berpeluang melaksanakan ibadah korban buat julung kali tahun ini selepas menerima sumbangan seekor lembu daripada KUSKOP.
Penaung Pertubuhan Kebajikan dan Pembangunan Islam Pulau Pinang, Ben Ooi berkata, sumbangan itu amat bermakna buat pertubuhan berkenaan yang baru didaftarkan pada November tahun lalu.
“Alhamdulillah, dengan izin-Nya kami menerima rezeki apabila memperoleh sumbangan seekor lembu untuk ibadah korban tahun ini.
“Kami benar-benar tidak menyangka kerana ini merupakan kali pertama pertubuhan kami dapat melaksanakan ibadah korban serta mengagihkan daging kepada kira-kira 26 mualaf dan asnaf di kawasan pulau serta Butterworth,” katanya. – MalaysiaGazette
















